MEREKA yang hadir pada sidang akhbar ANC (Kempen Anti-Najib) hari ini terdiri daripada orang sama, yang begitu lantang bersuara dan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sejak setahun lepas.

Sebenarnya, ia merupakan perhimpunan oleh orang yang tidak mendapat tempat dan manusia daripada beraneka ragam, yang hanya disatukan oleh satu perkara iaitu: benci kepada Najib.

Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap tentang menggulingkan Najib dan kemudian melakukan pembaharuan. Bagaimanapun, Dr Mahathir amat berhati-hati agar tidak menyatakan secara terperinci tentang pembaharuan yang beliau maksudkan. Beliau membiarkan perkara itu dalam keadaan kabur.

Idea pembaharuan oleh pihak pembangkang amat jauh bezanya daripada idea pembaharuan Dr Mahathir. Mereka tidak sekata mengenai butirannya secara terperinci. Keadaan ini sudah cukup untuk menjamin kegagalannya sejak awal lagi,

sama seperti yang telah dialami Pakatan Rakyat. '

Marilah kita sama-sama mendengar dahulu apakah agenda pembaharuan mereka secara sepenuhnya, sebelum meminta rakyat menyokongnya. Ketika ini, satu-satunya agenda mereka ialah untuk menyingkirkan Najib.

Apa pula selepas itu? Dr Mahathir berkata ia hanya bertujuan untuk menyingkirkan Najib agar Malaysia dapat diselamatkan.

Menyelamatkan daripada apa? Apa yang beliau maksudkan ialah isu 1MDB, tetapi beliau tidak mahu menyebutnya kerana perkara itu sudah diselesaikan dan tidak lagi merupakan suatu isu.

Malah, perkara berkaitan RM2.6 bilion juga sudah diselesaikan. Mereka perlu jujur dan tidak memperdaya rakyat. Mereka sedar bahawa langkah mereka untuk menyingkirkan Najib telah gagal dan ini hanya merupakan langkah untuk

menyelamatkan air muka mereka. Ia hanyalah satu pertunjukan sampingan untuk memberi tanggapan bahawa usaha itu belum berakhir, sedangkan pada hakikatnya, ia telah berakhir beberapa bulan lepas.

***Datuk Seri Dr Salleh keruak  merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.