SEPERTI telah dijangkakan, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang khusus untuk menyelamatkan Presiden-Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak tidak membuka sebarang jalan penyelesaian kepada masalah Umno dan negara. 

Kedudukan Mohd Najib sebagai Presiden Umno lebih kuat dan dengan itu selamat jugalah kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Mohd Najib dan konco-konconya tidak peduli Umno pecah, pentadbiran negara kucar-kacir dan ekonomi negara terus menjunam. Yang mereka peduli adalah kelangsungan kuasa. 

Dulu, apabila Umno bersidang, pasaran saham naik kerana pelabur yakin kepada Umno. Tapi sejak Umno bersidang mulai 8 Disember lalu, pasaran saham yang sememangnya jatuh bertambah jatuh. Dari 8 Disember hingga 11 Disember ia jatuh 2 peratus.

Jalan penyelesaian melalui Umno sudah tertutup. Mohd Najib tambah kuat tetapi pada masa yang sama beliau bertambah takut sehinggakan ketua dan ahli jawatankuasa cawangan yang menggesa beliau meletak jawatan pun digantung keahlian dan blogger yang menyuruh beliau berundur didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut. 

Dalam PAU yang baru berakhir itu, perwakilan telah mengangkat Mohd Najib menjadi “demigod” - manusia suci yang ada kuasa luar biasa. 

Realitinya, beliau lebih berupa “demagogue” - seorang peneraju politik yang mencari sokongan dengan memperalatkan nafsu dan prejudis sambil mengetepikan hujah rasional. 

Mohd Najib lebih selesa membelasah pengkritik-pengkritik beliau daripada berhujah secara rasional menjawab dakwaan-dakwaan mereka.

Jadi apakah yang boleh kita harapkan seterusnya? Mari sama-sama kita pertimbangkan hal-hal berikut: 

1. Kita menyerah kalah dan tidak berbuat apa-apa. Mohd Najib terus berkuasa. Usaha mencari kebenaran mengenai 1MDB, SRC International/KWAP dan derma/sedekah/zakat RM2.6 bilion akan dilencongkan bagi membersihkan nama beliau. 

2. Ekonomi akan terus menjunam kerana kurang keyakinan manakala rakyat jelata terus ditekan oleh GST, kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit dan pengangguran. 

3. Meneruskan usul undi tidak percaya di Parlimen atau pungutan suara secara akuan berkanun (statutory declaration) di kalangan ahli Dewan Rakyat. 

4. Bagi pembangkang, adalah lebih menguntungkan mereka kalau Mohd Najib terus menjadi Perdana Menteri hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Umno/Barisan Nasional terus lemah dan dengan itu lebih mudah dikalahkan. 

5. Atau mereka menyokong usul tidak percaya/akuan berkanun yang mana mereka berpeluang berkongsi kuasa dalam kerajaan perpaduan nasional. Sekiranya ini berlaku, hilanglah kuasa penentu Umno.

6. Apabila kuasa penentu terlepas daripada tangan Umno, hatta (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin  pun mungkin terlepas peluang mengambil alih dan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi pula mungkin mencatat sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang paling singkat tempoh perkhidmatan,  melainkan beliau berpaling tadah. 

7. Jadi, siapakah yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan negara? Kita terpaksa berbalik kepada veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang sedang mempelopori usul tidak percaya/akuan berkanun. 

8. Raja-Raja Melayu pun tentunya tidak akan berdiam diri membiarkan negara terumbang-ambing dan hidup rakyat jelata semakin hari semakin susah.

Meminjam ungkapan Inggeris, kita kini tersepit di antara “the devil and the deep blue sea” (di antara dajal dan laut dalam yang membiru).

Pilihan kita terhad dan masa tidak memihak kepada kita. Situasi kita menjadi bertambah runcing setiap hari yang berlalu.

Wallahuaklam.

***Artikel ini dipetik dari blog A Kadir Jasin

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.