SEBELUM dikemukakan bakal-bakal calon kerusi parlimen dari Pas, saya terlebih dahulu akan menarik perhatian umum terhadap harapan dan impian Umno Kelantan untuk menakluki beberapa kerusi Parlimen. Kita kaji dan analisa apakah harapan Umno ini bakal menjadi kenyataan atau ianya sebuah mimpi saja. Selepas ini nama-nama bakal calon kerusi Parlimen akan dibentangkan untuk sama-sama difikirkan kemunasabahannya.

Daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan Umno dipercayai menyasarkan sekurang-kurang lapan kerusi dengan harapan akan menang sekurang-kurangnya enam kerusi.

Umno menyedari akan kesukaran mereka untuk menang dua pertiga kerusi Parlimen di Kelantan. Sejarah tahun 1978 di mana Pas hanya memenangi satu saja kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa menerusi Allahyarham Nik Abdullah Arshad tidak mungkin akan berlaku.

Bagi Umno kalau mereka memperolehi enam kerusi sudah mencukupi dan kalau mencecah lapan ini ia bermakna kejayaan agung yang membawa makna kerajaan Pas Kelantan akan tertumus.

Dalam satu-satu kawasan Parlimen terdapat tiga kerusi Dun kecuali di Tumpat, Kuala Krai dan Pasir Puteh ada empat kerusi. Kalau Umno memperolehi lapan kerusi Parlimen ini bermakna parti itu merangkul sekurang-kurang 24 kerusi. Dengan jumlah itu Umno berjaya menubuh kerajaan Kelantan dengan majoriti mudah.

Dalam pilihan raya ke-11 tahun 2004 lalu Umno memperolehi lapan kerusi Parlimen, yang mana kemenangan itu menyumbangkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kerusi-kerusi itu ialah Kota Bharu, Bachok, Ketereh, Machang, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Dalam pilhan raya ke-13 yang bakal menjelma nanti pencapaian itu yang Umno inginkan. Baginya tidak mustahil kerana mereka sudah mencapai rekod berkenaan. Apa yang menyebabkan Umno merasa konfiden, kalau ketika pilihan raya ke-11 itu mereka tidak bersiap sedia untuk memerintah, tetapi pencapaian sudah ke tahap itu, apa lagi kali ini... dalam keadaan siap siaga ia tidak mustahil akan mendatangkan natijah sama.

Jangan terkejut kalau tiba-tiba nanti kerajaan Pas berusia 22 tahun akan ranap.

Mungkin berdasar perkiraan inilah menyebabkan Mustapa sedang bergedik kaki untuk menakluki Kelantan.

Mustapa yang menjadi komandan bagi kali kedua sudah boleh berpuas hati kalau enam kerusi Parlimen saja yang jatuh. Secara mudah kalau enam Parlimen dirangkul bermakna 18 kerusi Dun yang diperolehi.

Walaupun Umno tidak dapat memerintah tetapi Mustapa sudah berpuas hati kerana dapat mengekalkan pengaruh dan kekuatan Umno di Kelantan di zaman Umno terdesak dan hampir kehilangan sokongan di banyak negeri. Saya percaya kalau Umno terus mengekalkan Mustapa sebagai pengerusi perhubungan selepas pilihan raya ke-11 mungkin dalam pilihan raya ke-12 lalu Umno sudah memerintah Kelantan.

Lapan kerusi Parlimen yang menjadi sasaran atau idaman Umno dalam pilihan akan datang ialah tiga kerusi diwakili PKR iaitu Ketereh, Tanah Merah dan Machang. Kerusi-kerusi lain ialah Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Manakala dua kerusi lagi yang dikira sudah pasti menjadi miliknya ialah Jeli diwakili Mustapa Mohamed dan Gua Musang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Mengikut penculaan Umno kesemua kerusi itu ditandai dengan warna "kelabu" bukan hitam manakala kerusi Gua Musang dan Jeli ditanda dengan putih.

Kerusi-kerusi lain ditandai dengan "hitam", ini termasuk Rantau Panjang, Tumpat, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian. Umno sudah melupai kerusi-kerusi berkenaan untuk dirangkulnya.

Dari lapan kerusi disasarkan Umno enam kerusi dikira munsabah dan mempunyai potensi besar untuk menang.

Mari kita suluh satu persatu sejauh mana akan relevansinya.

Kita mulai dengan kerusi Ketereh yang kini disandang oleh Abdul Aziz Kadir Pengerusi PKR Kelantan. Dalam pilihan raya lalu Aziz menang hanya 400 undi mengalahkan Annuar Musa. Kejayaan Aziz menewaskan Annuar mengejutkan dan dianggap kejayaan peribadi buat Aziz kerana berjaya mengalah bekas bosnya. Sekiranya tidak ada pengkhianatan di kalangan rakan-rakan Annuar sudah pasti kerusi itu menjadi milik Umno. Dalam kata lain Aziz menang kerana adanya sabotaj sesama Umno.

Kemenangan Aziz juga dikira di luar dugaan umum kerana jika dibandingkan dari segi ketokohan sebagai ahli politik antara Aziz dengan Annuar kata orang panggil tidak dengar. Aziz tidak mempunyai apa-apa kelebihan melainkan berkeperibadian baik berbanding dengan Annuar bekas seorang menteri. Dari segi pengaruh dan jentera pilihan raya, Aziz didukung oleh rakan-rakan dan bergantung kepada jentera Pas. Pengaruh partinya (PKR) tidak begitu besar di Ketereh. Tidak sampai 1,000 ahli PKR di Ketereh?

Atas hakikat itu Umno meletakkan Ketereh sebagai sasaran utamanya. Kerusi Ketereh menjadi 'appetizer' bakal membuka lorong luas buat Umno. Bagi memastikan itu katanya, kali ini Umno tidak akan menurunkan Annuar yang sudah dua kali tewas di Parlimen Ketereh. Tokoh yang disebut-sebut akan diletakkan di situ ialah Mohd Alwi Che Ahmat, Adun Kok Lanas kini dan bekas ahli Parlimen Ketereh. Alwi menang kerusi Parlimen pada tahun 2004, dengan majoriti 2,888 menewaskan Muhammad Mustafa dari PKR.

Walaupun ada pendapat mengatakan sekiranya Annuar atau Alwi tidak diletakkan di situ akan berlaku tindakan 'kerat-mengerat' tetapi Umno menyakini Ketereh akan bertukar tangan kali ini. Alwi dikatakan akan dikerat oleh Annuar dan begitu juga sebaliknya. Namun kali ini tindakan sebegitu rasanya tidak berlaku lagi memandangkan Umno Kelantan seakan bersedia untuk mengambil alih Kelantan. Sudah pasti kalau Umno Ketereh bersatu, ditambah pula dengan tidak ada campur tangan individu "si golok dua mata" yang selama ini mendatangkan "kabus sutra ungu" (mengucar dalam Ketereh) Alwi akan menang di Ketereh.

Bagaimana pula dengan kerusi Machang dan lain? Bersambung ke bahagian ketiga.


* Dipetik dari msomelayu.blogspot.com