MEMBACA print screen satu mesej dari WhatsApp pengakuan seorang isteri bakal diceraikan sekiranya masih tidak hamil memang buat VK beremosi.

Sama ada mesej di bawah ini kisah benar atau rekaan untuk menarik orang membeli produk,  yang pasti hati wanita akan panas dengan suami sebegini.

Ramai juga yang mungkin sudah mengeji lelaki yang rasanya lupa diri. Dia lupa isteri hanya manusia biasa tiada kuasa untuk menentukan rezeki anak. Dia lupa bahawa kelahiran anak itu semuanya ketentuan Tuhan.

Kalau membuat anak itu seperti menghasilkan origami, dah tentu berderet anak diberi untuk si suami. Masalahnya  bukan semudah itu. Walau kita berusaha takkan ada si kecil yang didambakan itu jika Dia belum mengizinkan.

Bila Dia belum mengizinkan sudah tentu ada hikmahnya. Mungkin juga kerana suami isteri ni belum bersedia. Boleh jadi belum bersedia dari kewangan, ilmu mahu pun kesabaran. Bagaimana hendak bersabar menjaga anak kalau dugaan sebelum punya anak pun tidak berjaya ditempuhi.

Menceraikan isteri kerana tidak memberi zuriat belum tentu menyelesaikan masalah. Bagaimana selepas bercerai dan berkahwin lain si isteri juga tidak dapat memberi zuriat? Adakah suami akan mengulangi perkara yang sama.

Jika ada suami yang mahu berbuat demikian harapnya anda berfikir semula. Fikir perasaan isteri kerana dia tidak berkehendakkan perkara ini.

Apa yang berlaku ini adalah dugaan, sama ada pasangan mampu bersabar atau tidak dengan penantian yang lama. Malah ada anak juga ujian Tuhan, sama ada mereka mampu mendidik anak sebagaimana perintah-NYA.

Kepada suami itu juga jangan mudah termakan kata-kata orang sekeliling yang mencabar keegoan. Abaikan suara-suara sumbang anda tak kuat, tak 'power' atau tak subur kerana ada kala itu juga perkara yang meracuni pemikiran hingga membuat keputusan di luar pertimbangan.

Jika benar situasi ini berlaku, VK cukup simpati pada isteri ini. Bersabar dan jangan putus harap. Tapi teruskan juga tanggungjawab sebagai isteri meski hati rasa disakiti. Walau apa yang berlaku redalah dengan ketentuan-NYa. Pasti ada hikmahnya, percaya pada perancangan YANG MAHA ESA.

 *Artikel ini dipetik dari blog www.vanilakismis.com.my

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kemeriahan Hari Raya dengan pelbagai hidangan makanan bagaikan satu kemestian bagi majoriti umat Islam di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia harus merapatkan hubungan dan kemesraan sesama insan agar nikmat keamanan, kesefahaman dan kemuafakatan antara semua yang dapat dilihat di negara ini akan sentiasa dirasai hingga ke generasi akan datang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.