UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengambil langkah proaktif dan positif apabila warga universiti itu menceburi bidang pertanian selain tugas hakiki mendidik anak bangsa.

Seramai 50 peserta dari kakitangan akademik, pentadbiran dan sokongan UiTM dari ketiga kampus iaitu Kuala Pilah, Seremban dan Rembau setelah menghadiri Bengkel Fertigasi Cili di Kuala Pilah.

Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr Nur Jannah Azman berkata, bengkel tersebut membuka ruang kepada pensyarah serta kakitangan untuk memupuk hobi bertani.

“Bertani ini boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan, malah dapat menjimatkan perbelanjaan barang mentah serta memberi lebih jaminan kebersihan, kesihatan apabila sayuran yang dimasak ditanam sendiri di rumah.

“Sebenarnya, di mana-mana sahaja boleh mengusahakan fertigasi cili ini, di rumah mahupun di lokasi terhad. Ini kerana ia mudah dikendalikan,” katanya.

Kata Dr Nur Jannah, program berkenaan merupakan satu langkah terbaik UiTM memberi pendedahan tentang kaedah mengendali, menjaga dan memasarkan tanaman cili fertigasi kepada mahasiswa dan pensyarah.

“Kami berbesar hati kerana mendapat bimbingan dari usahawan tani juga bekas graduan UiTM, Muhammad Sharkawi Hassan yang sudi berkongsi ilmu tentang perusahaan cili menggunakan kaedah fertigasi.

“Beliau juga mengusahakan penanaman cili fertigasi dan kami menimba ilmu daripadanya. Kami diberi tunjuk ajar cara kawalan serangga dan kaedah penjagaan tanaman,” katanya.

Program berkenaan diserikan dengan pengisian ceramah tentang teori asas serta aspek-aspek penting dalam pengendalian tanaman cili fertigasi meliputi kaedah penyemaian, penyediaan media tanaman, sistem fertigasi dan penyediaan baja.