SEBANYAK 26 buah rumah di Kampung Timbou, Tamparuli, Sabah mendapat nafas baharu hasil usaha peserta program khidmat masyarakat Politeknik Kota Kinabalu (KK) baru-baru ini.

Program bertemakan Warga Poly Prihatin, Komuniti Terjamin ini melibatkan 140 peserta terdiri daripada 60 pelajar dan 80 pensyarah Politeknik KK iaitu Kejuruteraan Elektrik, Awam dan Mekanikal.

Pengarah Program Minir Simon berkata, program ini merupakan kolaborasi di antara Politeknik KK, Ahli Parlimen Tuaran, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli dan penduduk Kampung Timbou.  Aktiviti utama program adalah pendawaian baharu bagi 19 buah rumah dan pembaikan ke atas tujuh buah rumah yang terpilih, di samping sesi perkongsian ilmu bersama anak-anak penduduk kampung melalui aktiviti-aktiviti interaktif.

“Kerja-kerja pendawaian dilaksanakan pelajar dan pensyarah Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal, manakala pembaikan ke atas tujuh buah rumah dikendalikan para pelajar dan pensyarah Kejuruteraan Awam, dengan dibantu penduduk Kampung Timbou itu sendiri,” kata Minir.

Program ini bukan sahaja menjurus kepada sumbangan tenaga semata-mata, malah juga aspek ilmu dan kepakaran semua pihak yang terlibat.  Selain itu, ia juga dapat memberi peluang dan ruang kepada para pensyarah dan pelajar terlibat untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan penduduk kampung.

“Semua peserta telah menunjukkan semangat kerjasama dan toleransi yang tinggi, walaupun datang daripada program yang berbeza,” katanya.

Program  lima hari ini turut mendapat sokongan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang menyumbangkan sebanyak RM22 ribu sebagai sumbangan pembangunan bagi menjayakan program ini. Turut memberi sumbangan adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim yang menyumbangkan peralatan rumah dan dapur bagi penduduk Kampung Timbou.

Terdahulu, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran dalam ucapan perasmiannya berkata, program kolaborasi (NBOS) seperti ini adalah satu usaha kreatif dan inovatif dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya penduduk Kampung Timbou.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.