KUALA ROMPIN - Warga Kolej Komuniti Rompin Pahang (KKRP) tidak mensia-siakan kemahiran yang mereka ada untuk berkongsi dengan penduduk Kampung Janglau di sini, baru-baru ini.

Di samping itu, sebahagian pelajar turut melakukan kerja khidmat masyarakat pemasangan elektrik di masjid, balai raya dan rumah warga emas.

Program berlangsung selama dua hari itu mendapat kerjasama dan sambutan penduduk.

Pengarah KKRP, Abu Bakar Mat Tai berkata, komitmen tinggi yang dizahirkan warga kolej dan kerjasama daripada penduduk memberikan isyarat positif terhadap program sebegini.

Menurutnya, daripada kerja khidmat masyarakat, kursus pendek sehingga sukan persahabatan, semuanya berjalan lancar seperti dirancang.

Katanya, ia sekali gus memberi ruang lebih luas bagi menganjurkan program sama pada masa akan datang di kampung-kampung lain sekitar daerah ini.

“Program ini mendapat sambutan amat baik daripada komuniti Kampung Janglau dan ia suatu yang sangat membanggakan.

“Setiap kursus pendek seperti pembuatan simen fero yang dijalankan mencatatkan penyertaan yang ramai dari kalangan penduduk pelbagai peringkat umur dan ia sudah tentu cukup berguna buat mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat Mahasiswa Masuk Kampung anjuran Kolej Komuniti Rompin dengan kelolaan Brisk KKRP serta kerjasama JKKK Janglau, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin, Mohd Yusof Md Said.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut memberitahu program itu juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga KKRP dengan komuniti Kampung Janglau.