BATU PAHAT - Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurul Hanan Jaafar bergelar juara setelah berjaya menewaskan 10 peserta terakhir dalam Pertandingan Intervarsity Young Motivator Competition 2017 (I-mac2017) peringkat kebangsaan.

Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim itu, Nurul Hanan telah menewaskan 10 finalis sebelum terpilih menjadi tiga yang terbaik, sekali gus dinobatkan sebagai juara pertandingan berkenaan.

Menurut Nurul Hanan, dia menerima tentangan hebat daripada 37 peserta dari 19 universiti awam (UA), sebelum dipilih sebagai 10 peserta yang terbaik yang bertanding di pusingan akhir

Dalam pada itu, naib johan telah disandang oleh Muhammad Syafiq Mohd Sakri dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Afiqah Mahmud dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara itu, M Shahadat Ali Nordin dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan kesemua pemenang ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi serta sijil penyertaan.

I-Mac merupakan Program Tahunan Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Awam Malaysia (Makuma) dan pada tahun ini UTHM telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah.

Program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pelapis-pelapis motivator dalam kalangan mahasiswa UA yang boleh menjadi pembimbing dan ikon kepada pelajar dan melatih mahasiswa supaya lebih berkeyakinan dalam memotivasikan individu.

Untuk rekod, pertandingan seumpama ini mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada masa itu telah dipilih sebagai penganjur.

Peserta UTHM telah mencatat sejarah pertama dengan merangkul gelaran juara dengan mengalahkan 10 finalis daripada 34 peserta yang bertanding.

Nurul Hanan menyatakan, dia mempertaruhkan isu bertemakan ‘Cinta’ menganggap pertandingan seumpama ini memberinya ruang untuk mengasah kebolehannya dalam bidang motivasi.

“Saya berterima kasih kepada pihak universiti kerana memberi saya peluang menyertai pertandingan ini untuk meningkatkan lagi keyakinan diri bercakap di hadapan khalayak sekali gus dapat memotivasikan diri dan orang lain untuk membentuk kehidupan yang lebih baik,” katanya yang membawa pulang tunai RM2,000.