NORAINI Jaafar, 39, Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah, Klang, Selangor bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda dengan keputusan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Kali ke-14 Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), baru-baru ini.

Menyambung pengajian di Usim secara separuh masa sahaja kerana tugasan hakikinya sebagai seorang guru, tempoh empat tahun menuntut ilmu di Fakulti Pengajian Bahasa Utama ternyata berbaloi apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Sekolah Rendah) dengan pencapaian Kelas Pertama.

Menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada lima orang anak, guru dan mahasiswa Usim pada satu masa, ternyata bukan alasan untuk tidak cemerlang dalam akademik di universiti.

Pembahagian masa yang baik dan sokongan kuat daripada suami tercinta, Abdullah Azizi Ahmad Zaki serta ahli keluarga menjadi sumber kekuatan dan dorongan semangat kepadanya.

“Hari pertama mendaftar di Usim sudah memberi cabaran besar kepada saya kerana masih lagi dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keempat. Ketika memasuki tahun kedua pengajian di universiti dengan tanggungjawab sebagai pelajar semakin bertambah, saya melahirkan pula anak kelima (bongsu) kami.

“Ketika masih berpantang anak keempat, kemudian semasa sarat mengandung anak bongsu kami, ketika itu saya perlu memandu berulang alik setiap hari dari Klang ke Nilai kira-kira 140 kilometer pada Sabtu dan Ahad untuk mengikuti kuliah. Pada Isnin hingga Jumaat, saya menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik di sekolah, tetapi pada hujung minggu, saya pula menjadi seorang ‘murid’ di Usim.

“Sesi kuliah yang panjang, padat dan kadang-kala melewati ke waktu malam sememangnya diakui ada ketikanya terasa sangat meletihkan. Tetapi atas semangat ingin menjadi pendidik contoh kepada anak-anak murid di sekolah dan mencabar diri untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, ia menjadi motivasi untuk mengatasi segala halangan. Syukur Alhamdulillah, suami dan anak-anak amat memahami keadaan saya dan saling membantu menguruskan keluarga apabila saya tiada,” ujar Noraini.

Noraini yang merupakan pelajar di bawah Program Pensiswazahan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia menerima ijazahnya yang disampaikan oleh Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, di Dewan Tuanku Canselor. Pada masa sama, beliau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Guru Besar dan warga pendidik SK Batu Belah kerana sentiasa membantunya sepanjang tempoh pengajian.

Sementara itu, seramai 2,523 graduan Usim menerima Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Usim kali ke-14 yang berlangsung 19 November hingga 21 November 2016 di Dewan Tuanku Canselor Usim.

Pada tahun ini, sebanyak lima sidang berlangsung bermula dengan Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-14 pada 19 November (Sidang 1) yang disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor Usim.