TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Rabu lalu telah mengundang kritikan pelbagai pihak sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai turut tidak terkecuali dalam hal ini.

Sehubungan itu, satu perhimpunan secara aman telah diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz Usim sebagai tanda solidariti masyarakat kampus khususnya kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang cakna terhadap nasib menimpa warga Palestin pada ketika ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Usim, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, aktiviti yang berlangsung selepas solat Jumaat itu diselaraskan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Usim.

Menurut beliau, pihak universiti menyokong sepenuhnya inisiatif itu yang disifatkan sebagai bukti kepekaan pelajar dalam isu berkenaan serta keinginan mereka bersama kerajaan, rakyat Malaysia dan dunia untuk menyelar tindakan biadap AS dan Israel.

“Tindakan AS memperlihatkan mereka tidak sensitif kepada umat sejagat, sedangkan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai kota suci agama Islam, termasuk juga agama Yahudi dan Kristian.

“Atas dasar itulah, warga Usim bersama seluruh masyarakat dunia enggan berdiam diri malah turut mengutuk tindakan jijik AS dan Israel yang angkuh lagi sombong,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Usim, Dr Muzaffar Syah Mallow pula berpendapat, tindakan AS bukan sahaja akan menjadikan konflik antara Palestin dan Israel bertambah buruk, bahkan lebih daripada itu.

“Secara tidak langsung, situasi ini boleh mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di serata dunia, termasuk di Malaysia.

“Segala usaha untuk memerangi keganasan menjadi bertambah sukar kerana pihak militan dan pengganas akan menggunakan isu ini sebagai alasan bagi melakukan pelbagai jenis keganasan.

“Sekali gus, memudahkan mereka menyebarkan segala pengaruh militan serta keganasan ke serata dunia. Pada sudut lain, isu Baitulmaqdis melibatkan maruah dan masa depan umat Islam sejagat. Maka penjajahan ini tidak boleh dibiarkan begitu saja,” katanya.

Justeru katanya, Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) perlu memainkan peranan untuk melindungi masyarakat Palestin serta mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu daripada jatuh ke dalam genggaman Israel.

“Masa dan tenaga yang ada mesti digunakan bagi menggagalkan rancangan terkini Presiden (Donald) Trump serta memaksa beliau menarik kembali pengisytiharan berat sebelah itu terhadap status Baitulmaqdis,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Darul Quran mencatatkan sejarah apabila mengembangkan program Sijil Asas Tahfiz al-Quran dengan kemasukan pelajar saudara baharu daripada bangsa India, Cina, pribumi Sabah dan Sarawak Orang Asli.
  • SERAMAI 200 pelajar dari Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak) telah menyertai program gotong-royong perdana Himsak di Tanah Perkuburan Bukit Chenda, Gunong, baru-baru ini.
  • MENDAKI gunung kini antara aktiviti riadah yang menjadi kegemaran golongan remaja dan belia terutama penuntut universiti.
  • Inovasi kapsul di ekstrak daripada daun gelenggang untuk merawat sembelit yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah memenangi Anugerah Terbaik Kategori Pelajar dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) 2018.
  • Politeknik Kota Bharu akan melaksanakan program outreach menggunakan pelajarnya dalam usaha menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pengajian teknikal di institusi itu.