SELARI dengan penerapan konsep menjadi sebuah kampus yang barakah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) turut melihat kepentingannya sebagai sebuah institusi yang cakna, prihatin dan menyantuni insan istimewa iaitu Orang Kurang Upaya (OKU).

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang mengangkat integrasi ilmu naqli dan aqli untuk dibawa kepada masyarakat, kepakaran dan kemampuan yang dimiliki dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk membantu OKU.

Peneraju di peringkat Usim dalam menggerakkan pelbagai program berkaitan OKU ini digalas oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Bermula pada tahun 2006, sekumpulan pensyarahnya mula menerokai pengajian Quran Braille dalam kalangan komuniti berkeperluan khas masalah penglihatan.

Hasilnya, Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah sebagai kursus Wajib Fakulti mula ditawarkan untuk para pelajar FPQS pada 2008 di mana ia merupakan kursus pertama seumpamanya ditawarkan oleh Universiti Awam.

Dari kursus inilah ia membawa Usim mula mengorak langkah lebih jauh berkaitan OKU melalui penyelidikan dan inovasi; penerbitan; pengajaran dan pembelajaran; khidmat latihan; konsultasi; kesukarelawanan mahasiswa dan khidmat ummah.

Pada 2012, FPQS menubuhkan Institut Quran Braille yang menjadi platform untuk menyatukan ahli akademik dari pelbagai bidang bagi mendepani isu OKU dan cabaran semasa.

Melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) pada 2015, inovasi Smart Iqra’ Braille berjaya dihasilkan sebagai kesinambungan kejayaan penerbitan Buku Iqra versi Braille.

Malah beberapa inovasi untuk manfaat OKU dihasilkan oleh penyelidik Usim antaranya i-TALK PISKEB dan i-Sign QurANIS yang meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kehadiran NGO Islam iaitu Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) membuka jalinan baharu kepada mahasiswa Usim untuk aktif menyumbang dalam program kesukarelawan untuk anak-anak istimewa ini sebagai satu bentuk usaha dakwah.

Pelajar OKU dibantu membaca al-Quran dalam persembahan diadakan.

Bergerak melalui Sahabat Faqeh Usim, persatuan mahasiswa ini turut menubuhkan kumpulan nasyid tanpa suara (Saf al Isharah) dan Daie Pekak.

Usim turut memberi sokongan kepada penglibatan siswanya dalam berdakwah kepada golongan ini seperti Kursus Dakwah Tanpa Suara; Kursus Kemahiran Daie Pekak; Kem Huffaz Remaja Pekak, Jom Dhuha bersama Anak-anak Istimewa; dan Pameran Quran Sunnah for Special Needs dan beberapa program lain secara bersiri setiap tahun.

Pada masa sama Usim mengambil peranan melakukan inovasi dalam penyampaian khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz iaitu khutbah bersama terjemahan bahasa isyarat oleh Daie Pekak.

Atas pelbagai usaha dalam meraikan OKU dan dakwah kepada insan istimewa ini, Usim diberi pengiktirafan khas oleh Yayasan Faqeh sebagai penerima Anugerah Khas Yayasan Faqeh dalam Program OKU Berdoa 3.0 di Usim tahun lalu.