URBANKIT adalah satu sistem akuaponik yang menggabungkan tanaman edible dengan ternakan ikan air tawar. Perkataan Urbankit diambil daripada dua perkataan yang digabungkan iaitu perkataan 'urban' dan 'kit'.

Perkataan 'urban' dan 'kit' berasal dari perkataan bahasa Inggeris bermaksud 'bandar' dan 'alatan ringkas'.

Sehubungan itu, Urbankit dibangunkan khusus untuk penduduk di bandar yang melaksanakan aktiviti akuaponik bagi pertanian bandar dengan menggunakan alatan ringkas dan mudah.

Akuaponik pula merupakan satu sistem integrasi antara akuakultur (ternakan hidupan seperti ikan dan rumpai dalam air tawar atau laut) dengan hidroponik (tanaman sayuran, ulaman dan herba yang tidak menggunakan tanah sebagai media). Sistem akuaponik banyak dilaksanakan oleh negara maju untuk pertanian bandar tetapi masih baru di Malaysia.

Sistem ini terbukti berjaya dalam memenuhi keperluan nutrien oleh tanaman yang ditanam dari hasil kumbahan ikan dan lebihan makanan. Sisa dari ternakan ikan dan makanan yang berlebihan (pelet) dari kolam mengandungi toksin iaitu kandungan ammonia (NH3) yang tinggi.

Ammonia ini akan dipamkan ke dalam penapis-bio. Fungsi penapis-bio adalah untuk menghasilkan bakteria baik iaitu Nitrosomonas sp. yang berfungsi untuk mengurai ammonia kepada nitrit.

Penghasilan bakteria ini terjadi melalui pengoksidaan ammonia melalui proses metabolik di dalam penapis bio yang mengandungi campuran tanah, hidroball dan air. Kemudian, nitrit yang dihasilkan akan diuraikan pula oleh bakteria Nitrobacter sp kepada nitrat.

Bakteria ini terhasil melalui tindak balas kitaran nitrogen dengan mengoksidakan nitrit di dalam sistem tanaman yang mengandungi campuran hidroball dan air.

Nitrobacter menukarkan nitrit ke nitrat, yang sangat mudah diserap oleh tumbuh-tumbuhan. Akar sayur-sayuran akan menyerap nitrit dan nitrat untuk pertumbuhan pokok dan akhir sekali, air bersih yang ditapis oleh akar tumbuhan mengalir semula ke dalam kolam dan proses ini akan berulang.

Kit ini terbukti memenuhi konsep teknologi hijau kerana hasilnya organik dan tidak memerlukan baja kimia dan racun perosak kerana ia menggunakan sisa ikan dan makanan yang berlebihan (pelet organik) sebagai baja organik untuk pertumbuhan tanaman.

Faedah Teknologi

a) Masyarakat

Urbankit ini dibina khusus untuk memberi peluang kepada masyarakat bandar mengurangkan belanja dapur di samping meningkatkan pendapatan isi rumah. Kit ini sesuai untuk tanaman ulam-ulaman, herba, sayur-sayuran serta penternakan ikan air tawar.

Beberapa spesies tanaman edible seperti pudina, pegaga, salad, bayam, selom, bendi, cili, terung, timun, kacang panjang, bawang, kucai, serai, pandan, kunyit dan kangkung telah diuji serta disesuaikan dengan kit ini.

Manakala bagi penternakan ikan air tawar, ikan tilapia merah telah dipilih berbanding ikan keli, kelah, patin, puyu, baung dan ketutu yang diuji kerana ia toleran terhadap keadaan air seperti pH (7.56), suhu (27.7 C), oksigen,(98%),  ammonia (0.02 ppm), nitrit (6.16 ppm) dan nitrat (20.54 ppm).

Keputusan kualiti air ini adalah jauh dari julat berbahaya yang ditentukan oleh piawaian antarabangsa bagi sistem akuaponik dan ternakan ikan dalam akuarium. Berdasarkan keputusan kualiti air ini menunjukkan bahawa, sayuran serta ikan yang dihasilkan adalah selamat untuk dimakan.

b) Ekonomi

Teknologi Urbankit terbukti lebih murah di antara tiga hingga lima kali ganda berbanding sistem akuaponik sedia ada. Ia kurang penyelenggaraan kerana air ikan tidak perlu dibuang, tanaman tidak perlu disiram dan tidak perlu dibaja pada setiap hari. Ini kerana, sistem yang dibangunkan akan melaksanakan semua perkara tersebut secara automatik.

Selain itu, jangka masa siap penggunaannya adalah lebih cepat iaitu mengambil masa 2 jam sekiranya besi belum dipotong termasuk pemasangan sistem akuaponik. Besi ABS dan polybox juga terbukti kuat, lebih ringan, tidak karat, mudah dialih dan dipindah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana mempunyai roda serta boleh dipindah atau diletakkan di tempat yang sesuai mengikut kehendak pengguna.

Kajian ekonomi yang dijalankan juga mendapati satu unit Urbankit boleh menjana pendapatan sampingan purata RM134 sebulan hasil jualan sayur dan ikan secara organik. Selain itu, ianya juga boleh menjimatkan belanja dapur sehingga 20% sehingga 40% sebulan dianggarkan RM40 sebulan. Tenaga elektrik yang diguna untuk menggerakkan pam pula adalah RM4.57 sebulan.

Pengkomersialan

Inovasi Urbankit telah berjaya dikomersialkan kepada syarikat TMEH Sdn Bhd melalui kaedah perlesenan eksklusif. Bagi mengelak inovasi ini ditiru, perlindungan harta intelek terhadap cap dagangan (2014011787) dan reka bentuk industri (12-E0171-0101) dilaksanakan.

Pelbagai aktiviti promosi turut diadakan melalui media cetak, elektronik dan sosial bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. Yang terbaharu, inovasi ini akan dipamerkan sempena MAHA 2016 di MAEPS, Serdang mulai 1 hingga 11 Disember depan.

Beberapa agensi awam, swasta, NGO dan individu turut ingin bekerjasama kerana keunikan dan potensinya yang besar untuk pasaran  kebangsaan dan antarabangsa, serta boleh juga dikembangkan melalui aktiviti kemasyarakatan seperti CSR dan sistem wakaf.