TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menjadi universiti pertama di Perak sebagai mutawalli (pentadbir atau nazir) wakaf yang dilantik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).

Ketua Pegawai Eksekutif Maipk, Datuk Dr Amiruddin Muhamed berkata, pelantikan UPSI bertujuan mengutip dana wakaf bagi pembinaan kompleks pondok bitara dan akademi pendidikan bernilai RM25 juta.

Menurutnya, pihaknya meluluskan permohonan UPSI setelah mematuhi kehendak hukum syarak dan tempoh kebenaran sebagai mutawalli wakaf hanya dua tahun untuk mengumpulkan dana pembinaan projek tersebut.

“Apabila cukup dana dan mereka telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan, maka tempoh itu akan berakhir.

“Mutawalli berperanan mengutip dana wakaf untuk membangunkan projek spesifik yang kita luluskan dan tempoh itu terpulang kepada pelaksanaan sesuatu projek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran dana wakaf Al-Mursyidin yang disempurnakan Pengerusi Lembaga UPSI, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Datuk Dr Noraini Idris.

Amiruddin berkata, Maipk adalah pemegang tunggal bagi semua wakaf di negeri ini dan boleh melantik mana-mana pihak sebagai mutawalli wakaf mengikut Enakmen Wakaf Perak 2015.

Katanya, Maipk turut meluluskan permohonan daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai mutawalli wakaf, bulan lalu dan kini sedang dalam peringkat akhir proses permohonan sebelum melaksanakan pelantikan berkenaan.

“Apabila ada permohonan dan mematuhi prosedur operasi standard serta parameter syarak ditetapkan, kita pasti akan mempertimbangkan permohonan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Dr Mohd Abdul Masir Abd Latif berkata, pelantikan universiti itu sebagai mutawalli wakaf memberi ruang kepada universiti pendidikan itu melakukan kutipan bagi pembinaan projek wakaf tersebut dalam menyediakan pengajian dan pendidikan Islam.

Jelasnya, anggota Majlis Mesyuarat Induk UPSI yang akan menentukan bila projek itu dilaksanakan dan meletakkan sasaran selama dua tahun untuk mengumpul dana berkenaan.

“Pembinaan pondok bitara memberi fokus kepada pengajian sepanjang hayat berkaitan kitab turath (kitab warisan) merangkumi pelbagai cabang ilmu Islam manakala akademi pendidik memberi fokus bagi mewujudkan ruang untuk melaksanakan pendidikan berasaskan teori baharu.

“UPSI mengambil peluang ini dan tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan berusia 20an atau 30an tetapi turut membuka peluang kepada warga emas yang berminat menyambung pengajian ilmu Islam melibatkan akidah, fiqah dan tauhid kerana kita mahu berkongsi kepakaran yang ada dengan masyarakat di negara ini,” katanya.