SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya meraih penarafan 6 Bintang (Gemilang) selepas mencatat prestasi tertinggi dalam Penarafan Universiti dan Kolej Universiti Malaysia (SETARA-2017).

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris berkata, penarafan SETARA penting kerana UPM boleh memperbaiki sebarang kelemahan serta mengambil pendekatan strategik bagi meningkatkan prestasi menyeluruh UPM.

“UPM berpendapat ranking dan penarafan tidak boleh diabaikan kerana ia mempengaruhi persepsi

stakeholders seperti pelajar, kerajaan, industri, ibu bapa, masyarakat umum, rakan antarabangsa dan lain-lain yang boleh menyumbang kepada reputasi dan menjana pendapatan UPM,” katanya.

UPM antara institut pengajian tinggi (IPT) yang menerima penarafan 6 bintang dalam kategori Mature University iaitu Universiti berusia 16 tahun ke atas selain Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut menerima anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam Majlis SETARA-2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini ialah International Medical University, Universiti Teknologi Petronas dan Monash University Malaysia.

Penilaian SETARA merangkumi empat kriteria iaitu umum sebanyak 40 peratus, pengajaran dan pembelajaran (30 peratus), penyelidikan (20 peratus) dan perkhidmatan (10 peratus).

Objektif SETARA ialah untuk membantu universiti membina asas yang kukuh dalam tiga fungsi utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui penilaian mengikut metrik kriteria.

Daripada 105 buah universiti dan kolej universiti, hanya 71 layak dinilai dalam SETARA-2017 dan 58 daripadanya mencapai penarafan 4 bintang ke atas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPUNG GAJAH - Seramai 62 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam menjalankan kajian khusus terhadap kemusnahan ekosistem tasik bekas lombong dan kadar penurunan tangkapan ikan pada 2016 di Kampung Makmur, Sungai Galah, Tanjung Tualang.