KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menawarkan peluang melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda secara separuh masa di Kampus Kota, Pengkalan Chepa, bermula September ini.

Pengarah Pusat Pendidikan Luar UMK (UMKCEE), Prof Dr Mohamed Dahlan Ibrahim berkata, pengenalan pengajian di peringkat ijazah itu menyediakan syarat kemasukan secara mudah kepada orang ramai.

“Mod pengajian ini membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat menyambung pelajar di peringkat ijazah pertama tanpa pendidikan formal.

“Inisiatif ini ditawarkan di bawah UMKCEE dengan tujuan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat seperti termaktub dalam lonjakan ketiga PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia) 2015 hingga 2025,” katanya.

Menurutnya, program tersebut bersesuaian dengan mereka yang bekerja memandangkan kelas diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Khamis dan Jumaat dengan pengambilan jumlah kredit yang fleksibel.

Katanya, sebagai permulaan, tiga pengajian peringkat ijazah pertama ditawarkan iaitu Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran), Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) dan Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan) dengan kepujian.

“Tempoh pengajian selama empat tahun dan pendaftaran dibuka sejak Mei lalu hingga 2 Ogos ini. Syarat kemasukan dan keperluan khas program adalah dengan kelulusan SPM, SPVM, STPM, STAM, matrikulasi atau diploma,” katanya.