RAUB - Seramai 26 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah teruja mendalami ilmu pemantapan menghadapi UPSR dalam sebuah kem di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, di sini, semalam.

Pengarah Program Bersama, Pensyarah Kanan Nor Zalina Ismail berkata, Kem Kecemerlangan UPSR 2017 itu adalah program tahunan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Kampus Raub sebagai sekolah angkat.

“Kem yang melibatkan tujuh guru dan 29 pensyarah FSKM bertujuan memberi teknik menjawab soalan UPSR pada September ini dengan lebih sempurna mengikut skema pemarkahan selain membiasakan pelajar menjawab soalan dengan berkesan.

“Program ini membuktikan usaha dilakukan amat disenangi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga murid yang terlibat secara tak langsung. Kem anjuran bersama kali kedua ini mula dilaksanakan pada tahun 2016 lepas,” katanya.

Menurutnya, UiTM komited untuk membantu sekolah sama ada di peringkat menengah mahupun rendah di sekitar kawasan universiti ini dalam menjayakan kem dan bengkel menjawab peperiksaan dan motivasi.

Sementara itu, Penyelaras Korporat UiTM Kampus Raub, Mohd Rozaimy Ridzuan berkata, kem tersebut dilihat penting sebagai usaha memberi kesedaran berhubung kewujudan kampus berkenaan.

“Kewujudan UiTM Raub di sini mula dirasai oleh komuniti setempat dengan adanya program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang juga memberi peluang kepada pelajar sekolah menimba ilmu tambahan di persekitaran yang lain, iaitu di universiti.

“Selain itu, ia sedikit sebanyak dapat membuka minda dan hati para pelajar sekolah belajar bersungguh-sungguh untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti,” katanya.