IPOH - Perkongsian Kemahiran Antarabangsa (ISP) yang disokong British Council dan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri mampu memudah cara kos efektif untuk mengubah sistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui projek dibangunkan United Kingdom dan institusi luar negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dr Mohammad Naim Yaakub berkata, program ini menggabungkan organisasi dengan organisasi utama terkemuka di seluruh dunia untuk membangunkan projek pembangunan kemahiran inovatif.

Menurutnya, kesan utama ISP untuk membangunkan kurikulum tambahan termasuk model baharu penglibatan majikan dan latihan kemahiran yang boleh dipindahkan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik khusus dalam pembuatan semikonduktor.

“Dalam projek ISP, Politeknik Ungku Omar (PUO) mewakili Politeknik Malaysia telah bekerjasama dengan Carsem (M) Sdn Bhd dalam membangunkan kurikulum tambahan dan modul dalam pembangunan semikonduktor serta latihan kepada pelajar terpilih untuk menjalankan latihan praktikal di sana.

“Manakala British Council dan West Lothian College sebagai rakan kongsi menyediakan panduan komprehensif untuk aktiviti pelaksanaan. Kerjasama ini bukan hanya membangunkan pendidikan bertaraf tinggi yang memenuhi keperluan industri tetapi meningkatkan hubungan antara pendidikan dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Policy Dialog International Skills Partnerships di Puo, baru-baru ini.

Hadir sama, Head of Essential Skills and Progession, West Lothian College, Collin Miller.

Katanya, pada Mei 2017, kumpulan pertama pelajar PUO terpilih menghadiri kelas insentif pada bulan Ogos dan September 2017 sebagai persiapan menjalani program insentif di Carsem.

“Program insentif selama enam bulan bermula November 2017 adalah pembelajaran berasaskan pekerjaan yang dimulakan PUO sebagai nilai tambah kepada pelajar sebelum menyertai pasukan kerja,” katanya.