KEHIDUPAN kampus adalah suatu fasa baharu bagi siswa yang baru melangkah ke menara gading. Perjalanan sebagai penuntut universiti adalah sesuatu yang asing dan berbeza daripada alam persekolahan. Transisi ini memerlukan siswa segera beradaptasi untuk menempuh cabaran universiti sekali gus mendewasakan diri.

Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman sebegini, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS), Universiti Selangor (Unisel), Dr. Hazeeq Hazwan Azman berkongsi pendapat berkaitan isu ini berkata, cara pembelajaran di universiti juga sangat berbeza kerana setiap kerja khusus, kuiz dan ujian akan menyumbang kepada markah keseluruhan, bukan peperiksaan akhir sahaja.

"Maka, siswa perlu fokus sepanjang semester dan tidak boleh culas dalam pembelajaran. Walau bagaimanapun, siswa akan sedar bahawa untuk lulus sesuatu subjek itu hanya memerlukan disiplin diri untuk tidak ponteng kelas, menyiapkan segala kerja khusus dan menjawab semua kuiz, ujian dan peperiksaan akhir," katanya.

Dr. Hazeeq Hazwan Azman

Kunci kejayaan

Menurut Dr. Hazeeq lagi, pengurusan masa adalah kunci utama kejayaan di universiti.

"Tempoh semester pembelajaran adalah singkat, tidak seperti setahun di sekolah. Tanpa pemantauan ibu bapa, siswa yang menetap di kampus perlu bijak mengatur masa dan tidak melengahkan kerja khusus dan belajar di saat akhir kerana masa adalah emas. Mereka yang tidak menghargai masa akan terbeban dengan kerja khusus yang banyak selain ujian dan tugasan lain yang datang bertimpa-timpa.

"Siswa juga perlu peka dengan jadual kelas yang fleksibel selain deadline tugasan yang telah diberikan. Siswa seharusnya merancang aktiviti harian mereka dengan seimbang antara tanggungjawab sebagai pelajar dan aktiviti kokurikulum selain aktiviti hiburan yang berpada-pada agar menjalani kehidupan kampus yang sihat, ceria dan tidak stres," jelasnya.

Gilap bakat

Di samping itu tambahnya, komunikasi di universiti mungkin agak janggal kerana tiada lagi panggilan cikgu atau 'teacher' sebaliknya, lidah dibasahkan dengan sebutan doktor, prof, cik, sir dan madam.

"Universiti juga perlu dijadikan medan menggilap bakat dan memantapkan 'soft skills' kendiri. Gunakan peluang ini untuk memberanikan diri bercakap di hadapan khalayak ramai sewaktu membentangkan tugasan. Universiti juga adalah ruang siswa belajar ilmu sosial dengan aktiviti melibatkan komuniti dalam dan luar. Siswa perlu sedar bahawa dunia pekerjaan sangat kompetitif. Justeru, universiti adalah tempat untuk mempersiapkan diri untuk menjadi graduan yang berkualiti tinggi.

"Semua pensyarah pernah menjadi siswa. Jadikan pensyarah sebagai sumber mendapatkan ilmu dan tip belajar dan cara terbaik mengharungi cabaran menara gading. Tiada pensyarah yang mahu melihat anak muridnya gagal dalam mengejar cita-cita mereka. Saya ucapkan syabas buat mereka yang berjaya mendaftar di universiti. Selamat menempuh alam universiti, semoga keluar dengan menggenggam segulung ijazah," katanya lagi.

Fatin Nurazwa & Tengku Saidatul Najihah.

Teruja hadapi kehidupan sebagai Mahasiswa

Bagi dua pelajar baharu yang ditemui semasa pendaftaran sesi akademik 2018/2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM), kedua-duanya melahirkan rasa teruja dan tidak sabar menghadapi kehidupan bergelar mahasiswa.

"Saya rasa bangga kepada diri saya sebab dulu keputusan SPM saya agak rendah. Jadi, selepas memasuki matrikulasi, saya memang target (masuk) UPM. Walaupun ada perasaan nervous sebab datang ke tempat baru, kena kenal orang baru, tapi saya rasa gembira dan bangga kerana dapat capai apa yang saya nak," ujar Fatin Nurazwa Abdullah, penuntut Fakulti Pendidikan dari Kolej Canselor ini.

Perasaan sama turut dikongsi Tengku Saidatul Najihah Tengku Mohd Yaccob, penuntut Fakulti Sains (Biologi) dari Kolej Kedua.

"Saya rasa sangat gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang Biologi. Transisi dari sekolah ke U memang ada beza. Sebelum ini saya pernah masuk matriks. Matriks macam sekolah juga, tapi universiti, kehidupannya lebih mencabar dan saya tak sabar nak hadapi kehidupan kat universiti ini," katanya.