HULU SELANGOR - Darul Quran mencatatkan sejarah apabila mengembangkan program Sijil Asas Tahfiz al-Quran dengan kemasukan pelajar saudara baharu daripada bangsa India, Cina, pribumi Sabah dan Sarawak Orang Asli.

Pengarah Darul Quran Jakim, Dr Nordin Ahmad berkata, program pengajian itu adalah penjenamaan semula Program Pensijilan Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) yang diperkenalkan sejak 2008.

Menurutnya, bagi tahun ini, Darul Quran menawarkan tempat kepada 10 pelajar saudara baharu termasuk tiga OKU penglihatan.

“Salah seorang daripada OKU ini pernah mendapat johan dalam pertandingan hafazan kategori Saudara Baru OKU peringkat kebangsaan 2017. Enam lagi saudara baru dari kaum Dusun, Sungai, Kagayan, Murut, Cina dan seorang pelajar keturunan Orang Asli Temiar.

“Selain 10 pelajar terbabit, Darul Quran turut menerima kemasukan 140 pelajar baru bagi Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Jakim-IIUM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan pelajar baharu yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Datuk Zainal Abidin Jaffar mewakili Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha di Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu, di sini.

Zainal Abidin menerima penyerahan pelajar baharu daripada ibu bapa.

Nordin berkata, keseluruhan 150 pelajar baharu itu terpilih daripada ribuan permohonan dan terbaik dari sudut penilaian hafazan, akademik serta sahsiah ketika sesi temu duga.

Ibu bapa diminta sentiasa memberikan sokongan dan motivasi kepada anak masing-masing untuk terus gigih dalam bidang hafazan serta pengajian al-Quran

“Kita kena cakna mengenai pembelajaran dan apa jua aktiviti anak sama ada ketika berada dalam Darul Quran, apatah lagi apabila berada di luar kawasan.

“Pemantauan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan Darul Quran semata-mata, sebaliknya ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk membantu anak agar terus komited dalam pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, Jakim dan Darul Quran sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan setiap tahun hampir separuh daripada peruntukan untuk operasi Darul Quran dibelanjakan untuk pelajar.