ADMAL Aviation College, salah satu institusi yang menawarkan program berkaitan bidang pesawat.

Menariknya di kolej ini, selain Program Lesen untuk menjadi jurutera penyelenggaraan kapal terbang, turut ditawarkan Program Diploma Perniagaan Penerbangan (DAB) dan Diploma Teknologi Penyelenggaraan Kapal Terbang (DAMT) Dengan Lesen Cat A1.

Ketua Pegawai Eksekutif Admal Aviation College, Abdul Malek Packeer, tidak menafikan keistimewaan kolej ini dibandingkan institusi seumpamanya yang fokus hanya bidang penerbangan.

“Kelebihan di sini, selain sijil akademik (diploma), kita menawarkan kepada penuntut untuk mendapatkan lesen menjadi jurutera pesawat. Ia lebih kepada lesen personel pemegangnya  sampai bila-bila. Lesen daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang kita beri ini dipanggil lesen asas, License Without Type Rating (LWTR),” katanya.  

Tambah Malek, peluang kerjaya buat pemegang lesen kejuruteraan selenggara pesawat kini juga meluas pada masa kini dan masa hadapan, malah dengan lesen diluluskan DCA ini, mereka boleh mendapat kerjaya hingga di luar negara seperti di negara Asia Tengah (Qatar, Dubai, Arab) serta Hongkong.    

“Kepada yang berminat bekerja dalam industri penerbangan dan mendapatkan lesen kejuruteraan pesawat, kami menjemput mereka datang belajar di Admal Aviation College, untuk menjalani program selama lebih kurang empat tahun.

“Dua tahun di kolej, ada 13 modul perlu dipelajari dan ambil peperiksaan. Dua tahun lagi mereka akan diletakkan di hangar dan di air line. Selepas itu mereka boleh dapat lesen dan pergi ke mana-mana industri berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Korporat Admal Aviation College, Badrul Hisham berkata, peluang pekerjaan juga terbuka buat penuntut kolej ini apabila projek pembinaan MRO (maintainance, repair and overhaul) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu bakal dimulakan awal tahun hadapan.

Dengan penyelenggaraan pesawat kecil di bawah 5.7 tan, Admal Aviation College bakal meluaskan skop untuk menyelenggarakan pesawat lebih besar seperti Airbus 320 dan Boeing 737 apabila MRO di Kuala Terengganu di kawasan seluas 14.4 hektar dijangka siap pada 2020.

“Buat masa ini kita ada hangar di Subang, tapi untuk aircaft kecil," katanya.

Admal College turut menawarkan program Sijil AMT (Juruteknik Pembuatan Pesawat Udara). Hingga kini lebih 330 juruteknik AMT sudah dilatih sejak tahun 2014.

Badrul menunjukkan model MRO Admal College di Kuala Terengganu.

Tawaran berbeza

Bagi penuntut, Nurhusnina Nahar, 21, dia berminat mengambil lesen kejuruteraan penyelenggaraan pesawat di Admal kerana yakin dengan kelebihan menyambung pengajian di situ.

Menurutnya, kelebihan terus mengambil lesen berkenaan di Admal lebih memudahkan berbanding di institusi lain yang menawarkan peringkat berbeza untuk diploma atau ijazah kejuruteraan pesawat dan lesen.

“Bagi saya, untungnya di bidang ini ada kelebihan lebih dekat dengan pesawat di mana tidak semua orang mudah untuk dapat peluang sedemikian. Itu kelebihan kita,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Thinesh Devadas Mohan, 18, berkata, dia berminat melanjutkan pengajian di Admal setelah mengetahuinya melalui medium internet dan mendalami mengenai kursus ditawarkan di situ.

“Saya lihat dari segi kos dan kemudahan pembelajaran ditawarkan amat berpatutan. Saya memilih belajar di sini kerana berminat dengan aircraft dan rasanya ia satu bidang yang menarik,” katanya.  

Berkongsi pengalamannya selama 27 tahun dengan syarikat penerbangan antarabangsa, Instruktur yang juga Pengurus Latihan Admal Aviation College, Abd Latif Sulaiman pula tidak menafikan bekerja di bidang tersebut agak mencabar tetapi menarik.  

“Jujurnya, masa belajar, saya juga tak tahu apa mengenai aircraft. Tapi bila dah masuk dan dapat pengetahuan, kita akan makin minat. Apa pun peluang di bidang ini sangat terbuka kerana mereka di industri ini tidak ramai,” katanya

“Kelebihan di sini, kita sediakan latihan asas dan praktikal, di Admal pun kita ada buat penyelenggaraan aircraft. Jadi kita mudah untuk mendapatkan peluang praktikal penuntut kerana kita dalam organisasi sama,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Ketum atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa dilihat berpotensi dalam perubatan antaranya sebagai ubat penahan sakit dan merawat penagihan dadah pada masa depan.
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Anugerah 'Best Industry Engagement Award' melalui sumbangan di bawah Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) sempena Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 di sini, pada Selasa lepas.
  • SERAMAI 210 penuntut tahun tiga Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menimba ilmu sebagai persediaan untuk memulakan kerjaya sebagai guru menerusi seminar Industri dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV).
  • KUANTAN - -Sebanyak tujuh rumah terpilih di Parlimen Temerloh menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kolej Komuniti Paya Besar, Cabinet Away Day 2017.
  • KOTA BHARU - Lima penuntut bersama pengiring dari Institut Teknologi ANS (Pusat Wilayah Unitar International University Kota Bharu) mencipta sejarah apabila berjaya sampai di puncak Gunung Kinabalu dalam satu ekspedisi yang diadakan baru-baru ini.