KOTA BHARU - Politeknik Kota Bharu akan melaksanakan program outreach menggunakan pelajarnya dalam usaha menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pengajian teknikal di institusi itu.

Pengarahnya, Noor Azahan Othman berkata, program penerangan berbentuk perkongsian pengalaman itu bakal diadakan di seluruh sekolah menengah kebangsaan (SMK) di negeri ini bermula tahun ini.

Beliau berkata, dalam program berkenaan, sesi penerangan akan disertai pelajar yang sedang menuntut di politeknik yang akan menceritakan pengalaman dan keistimewaan mengikuti pengajian teknikal berbanding promosi masuk ke institut sebelum ini yang hanya bersifat iklan kemasukan.

“Pelajar yang kita pilih juga akan diberi penerangan tentang kelebihan belajar teknikal yang mempunyai pasaran tersendiri.

“Mereka diberi peluang balik ke sekolah menengah mereka sendiri supaya lebih menarik minat dan dapat lihat perbezaan mereka selepas menyertai PKB,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aspresiasi- Jasamu Dikenang yang dianjurkan Persatuan Kakitangan Politeknik Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, di Kok Lanas, di sini.

Azahan berkata, langkah itu diambil memandangkan kerjaya dalam bidang teknikal perlu dipertingkatkan bagi memberi negara seiring dengan negara maju yang lain.

“Politeknik adalah satu-satunya institusi berasaskan bidang teknikal dan kemahiran yang ada di Kelantan.

“Melalui promosi kemasukan sebelum ini pun, kita lihat ramai remaja dan belia berminat nak mempelajari bidang teknikal, malah bidang ini adalah kepakaran mereka cuma kita nak beri penerangan supaya mereka lebih jelas dengan program teknikal disediakan di Politeknik Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 5,500 pelajar sedang mengikuti pengajian di PKB manakala tahun lalu, PKB mencatat 98.42 peratus pelajarnya berjaya mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 35 anugerah disampaikan selain tujuh agensi media dan beberapa wartawan turut menerima penghargaan termasuk News Straits Times Press (NSTP), Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan, Bernama dan Utusan Malaysia.