KEBANYAKAN dalam kalangan kita meminati tanaman. Namun, tidak ramai mengetahui ilmu berkaitan penanaman dan penjagaan tanaman terutama tanaman secara terarium dan taman mini.

Baru-baru ini, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Terrarium and Miniature Garden Expo.

Program di bawah Botani Pertanian (AGR3101) Kumpulan 1 dan 2; dan Botani Pertanian Lanjutan (AGR4101) ini telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (Permatani) dan beberapa kelab lain.

Juga dikenali  Ekspo Terarium dan Taman Mini, program ini berbentuk pengembangan dan interaksi ilmu khusus berkenaan pertanian. Melaluinya, mahasiswa dapat mengetahui ilmu berkaitan penanaman dan penjagaan tanaman secara terarium dan taman mini. Secara tidak langsung, ia dapat membentuk persekitaran ilmu pertanian yang sihat dan dapat memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang mahu berkongsi ilmu.  

Melibatkan sebahagian besar mahasiswa Fakulti Pertanian, program ini diharapkan dapat membuka ruang penyebaran ilmu mengenai pertanian kepada peserta dan pengunjung yang hadir.

Juga dapat menerapkan sifat dan budaya menjaga alam sekitar dalam diri setiap individu dan mewujudkan semangat berpasukan dan kerjasama antara pihak-pihak terlibat terutamanya mahasiswa dalam menjayakan program ini.

Menanam pokok atau bunga dalam pasu, bukanlah hobi luar biasa dalam kalangan masyarakat, sebaliknya ia hobi kegemaran ramai kerana mudah dikendalikan, walaupun hanya berada di rumah.

Bagaimana pula menanam pokok atau tanaman lain di dalam bekas? Dikenali sebagai terarium, konsep tanaman sebegini mungkin dianggap masih baharu dalam masyarakat kita walaupun ia sudah wujud sejak dulu lagi.

Terarium ialah media atau wadah daripada kaca atau plastik atau mana-mana bekas lut sinar berisi tanaman. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai seni mengatur tanaman dalam balang kaca atau bekas lut sinar dalam bentuk kecil atau mini. Penataan seni hias dalam terarium ini sama seperti seni menghias landskap tetapi ia dihasilkan dalam bentuk mini.

Terarium menampilkan taman mini dalam media kaca. Terrarium dapat menggambarkan kedudukan di alam yang sebenar dalam media kaca berkenaan. Misalnya terarium dapat menggambarkan ekosistem gurun, ekosistem padang pasir, ekosistem Hutan Hujan Tropika atau sebagainya.

Banyak jenis tanaman yang boleh ditanam secara terrarium. Antaranya sansiviera, kaktus, sukulen, lumut, paku pakis dan bromelia.

Ikuti paparan mengenai konsep tanaman secara terrarium ini melalui SEMBANG SISWA minggu ini. Diharapkan ia memberi input berguna kepada mahasiswa dan masyarakat dalam menjayakan penanaman tanaman terarium secara terbuka (paling digemari ramai) dan terarium tertutup (paling sukar dibuat dan dirawat kerana bekas kaca atau lut sinar untuk terarium ini biasanya tertutup di semua bahagian).