KE mana arah tuju bola sepak? Kemungkinan besar inilah persoalan yang mungkin difikirkan kita sejajar perkembangan yang ketara berbeza daripada pelbagai sudut. Jelas, kelangsungan bola sepak itu sendiri akan terjejas sekiranya revolusi kewangan kembali mempengaruhi.

Bola sepak yang sudah sekian lama bertapak di dunia ini, turut melalui banyak fasa yang memperlihatkan tunduk dan bangunnya industri ini dan mungkin episod duka sekitar 1970-an dan 1980-an boleh dikira sebagai sejarah hitam arena bola sepak apabila sukan ini dicemari pengaruh sosial  terlampau yang boleh dilabel sebagai vandalisme bola sepak.

Seakan tidak menyerah kalah, bola sepak bangkit semula lebih hebat dan tegar mengharung segala kemungkinan. Pada hari ini, bola sepak diterima baik pelbagai pihak , memperlihatkan perkembangan sangat sempurna daripada aspek tatacara permainan serta teknik yang sudah berada di dalam kelasnya tersendiri.

Duit adalah sajian istimewa di dalam dunia bola sepak. Kemewahan, kewangan yang melimpah bukan sekadar tertumpu kepada pemain serta yang aktif beraksi tetapi turut memberi tempias kepada bidang keusahawanan secara sepenuhnya.

Atas dasar itu, pihak bank, institusi kewangan meletakkan minat memberi bantuan serta melabur ratusan jutaan ringgit dalam sukan ini yang ketika dahulu dilihat sebagai tidak berpotensi sama sekali.

Kebangkitan sukan bola sepak di rantau Asia dilihat berada dalam lingkungan  sangat baik apabila kebanyakan negara memberikan penekanan serius. Singapura sebagai contoh, mewujudkan organisasi bola sepaknya tersendiri, Goal Keeping Academy yang meletakkan sasaran enam tahun untuk melahirkan bakat baharu  bola sepak bertaraf dunia.

Bola sepak membuka peluang kepada pemainnya menjangka masa hadapan, memberi ruang orang perseorangan dan pengurusan meramal keuntungan. Dengan semua bantuan yang sedia ada, bola sepak akan dapat berkembang dengan jayanya. Ia turut disusuli dengan laluan kerjaya yang mudah dan lumayan untuk individu berminat dalam sukan ini.

Tulang belakang kepada kejayaan bola sepak bukan sekadar bertumpu kepada pemain tetapi turut memainkan peranan amat besar adalah pengurus pasukan profesional yang dapat menerajui pasukan serta membina keupayaan lebih kukuh.

Oleh yang demikian, institusi pengajian bola sepak dilahirkan di England dengan tenaga pengajar terdiri daripada pakar yang meletakkan sasar pendidikan dalam bola sepak demi melahirkan insan berkemampuan dalam akademik, profesionalisme yang menepati kehendak pasaran. Pendidikan ini memberi penekanan membentuk corak pemikiran, mendidik secara teknikal dan memberi persediaan fizikal kepada pemain serta badan pengurusan itu sendiri.

Bukan itu sahaja, aspek sains sukan, kejurulatihan, pengadilan, pengurusan pasukan, pengurusan komuniti, perkembangan bakat pemain, perkembangan pemain kategori elit, dan pentadbiran pasukan turut diketengahkan. Dengan sidang akademik yang tersedia maka lahirlah Diploma Pengajian Bola Sepak, kursus yang menjadi impian kepada peminat bola sepak yang kemudian dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Pengajian Bola Sepak dah Pentadbiran Perniagaan.