ISTANBUL telah sekian lama menjadi destinasi persinggahan ramai cendekiawan, sarjana, tokoh ilmuwan malah pemimpin. Hal ini bukan sahaja kerana lambakan acara besar intelektual dianjurkan di sini, tetapi juga kerana lokasinya yang begitu strategik dan mudah bagi mereka.

Walaupun lokasi geografi negara ini yang strategik berhampiran dengan Timur Tengah dan Eropah, topik berkaitan rantau kita (Asean) merupakan isu-isu yang akan sentiasa relevan untuk dibahaskan dan dipromosikan walau di mana-mana sahaja.

Persatuan Pelajar Malaysia di Turki atau The Malaysian Student Association In Turkey (MASAT) telah mengambil inisiatif dan langkah pertama untuk mengumpulkan pelajar dari rantau Asia Tenggara yang belajar di Turki bagi membincangkan mengenai kemajuan dan pembangunan persatuan batas semua negara-negara dari rantau ini bersama-sama iaitu Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Terdapat 10 negara anggota Asean terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Brunei, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos. Bagi siri forum ini, Masat telah mengundang panel - kesemuanya mahasiswa dari tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Filipina dengan hadirin terbuka kepada umum.

Secara umumnya, berada di negara asing terutama di Turki, negara-negara Asean terutamanya negara-negara Asia Tenggara tidak benar-benar diberi perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa.  Erti kata lain ia tidak segah negara-negara di bawah Kesatuan Eropah yang terpampang kemajuan mereka atau negara-negara timur tengah yang tersemat sejarah lampau dan keunikan suasana politik semasa negara mereka. Maka Masat telah berusaha memecahkan stereotaip dan persepsi ini bahawa rantau Asean merupakan antara rantau paling berpengaruh, wajar dipelajari dan diberi perhatian.  

Antara tujuan dianjurkan program bersiri ini:

Menerangkan pada awam perkembangan semasa di negara-negara Asean yang dilihat kurang mendapat perhatian dan sambutan.

Memanfaatkan keberadaan pengkaji serta mereka yang berkepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

Mendedahkan para pelajar dengan polisi, bagaimana dasar sesebuah negara dibentuk dan bagaimana masyarakat bergerak.

Membuktikan bahawa mahasiswa Malaysia di Turki adalah mereka yang memiliki cita-cita murni sebagai rakyat yang peka isu-isu rantau dan global serta ingin setiap negara memanfaatkan kekuatan serta pengalaman dari negara berbeza.

Program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan, pelajar Turki dan pelajar antarabangsa mengenai negara-negara Asean dan penubuhan Asean. Dalam konteks yang sama, ia juga bertujuan untuk ahli-ahli negara Asean saling mengenali pelajar dari negara anggota Asean.

Selain itu, program ini adalah untuk membolehkan pelajar dan penonton untuk menganalisis dan membandingkan keadaan dan perkembangan semasa juga pengalaman lepas negara Asean dari perspektif orang muda dan pelajar Asean. Siri forum itu juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada ahli-ahli negara dasar setiap negara Asean dan bagaimana masyarakat terbentuk di sekitar dasar.


KIRIMAN: Muhammad Ahmad Zahid
Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Di Turki