RANTAU PANJANG – Meskipun sibuk dengan tugasan pengajian, namun ia tidak menghalang penuntut Kolej Uniti Kota Bharu menyertai aktiviti kesukarelawan bersama pelajar Pra-Universiti (Pra-U) Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang.

Program Khidmat Bantu Gotong-Royong dan baik pulih Surau Al-hidayah anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) ini disertai seramai 110 penduduk kampung, pelajar Pra-U SMK Rantau Panjang, penuntut serta kakitangan Kolej Uniti.

Ketua Pegawai Operasi Kolej, Mohd Shahahrom Azmin berkata, mereka memulakan aktiviti ini di tiga lokasi iaitu Surau Al-hidayah, Masjid Batu Karang dan Surau Pusu 40.

Menurutnya, program ini berjaya memupuk semangat bekerjasama dalam kalangan pelajar, di samping memenuhi keperluan aktiviti ko-kurikulum mereka.

“Aktiviti luar kelas mendedahkan penuntut dengan aktiviti komuniti sekali gus membina harapan agar program ini akan diteruskan, meskipun ketika mereka menempuh alam kerjaya.

“Kita mahu melatih generasi muda bersifat positif, cakna dengan keperluan masyarakat setempat dan bertoleransi dengan persekitaran,” katanya.

Shahahrom berkata, meskipun program ini dijalankan bagi memenuhi keperluan ko-kurikulum yang akan dicatat dalam pencapaian pelajar, namun pihaknya percaya ia memberi pengalaman berguna pada masa depan.

Sementara itu, penuntut Kolej Uniti, Ridwan Rafizie, 20, berkata, pelajar di negara barat sering menyertai aktiviti sukarela, bukan hanya di negara aman malah membantu mangsa-mangsa di negara yang terkesan dengan bencana alam.

Penduduk Kampung Batu Karang turut serta membersihkan kawasan masjid.

“Saya harap dapat menyertai badan sukarela dan bertugas membantu masyarakat yang memerlukan, di luar negara.

“Pengajian tidak akan terjejas kerana saya akan pastikan akademik saya cemerlang disusuli dengan aktiviti ko-kurikulum serta kesukarelawan,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Izwan Ismail, 19, berkata, ini merupakan penyertaan pertamanya dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sebelum ini katanya, dia tidak berminat untuk bergerak aktif dalam mana-mana persatuan atau kelab.

Namun katanya, program ini berjaya mengubah pendiriannya kerana sukarelawan ternyata memberi keseronokan dan kepuasan.

“Saya juga belajar untuk menganjurkan program yang sama untuk diaplikasikan dalam program seterusnya,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Batu Karang, Azram Ahmad, berkata, mereka mengalu-alukan penyertaan anak muda dalam aktiviti gotong-royong di luar bandar.

Katanya, program seumpama ini semakin dilupakan dan tidak mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

“Anak-anak muda sepatutnya mencontohi penuntut Kolej Uniti dan pelajar Pra-U SMK Rantau Panjang kerana mereka sanggup membantu menceriakan kawasan sekitar tanpa meminta sebarang balasan,” katanya.