ZAMAN persekolahan, habis sahaja kelas, seumpama meraikan kemerdekaan, apatah lagi yang menghadapi peperiksaan. Ada sahaja aktiviti yang dirancang bagi memenuhi masa luang selepas memerah otak menghadap buku, ulang kaji, kerja rumah, peperiksaan dan sebagainya.

Tidak banyak beza apabila memasuki alam persekolahan tinggi. Bahkan, ia lebih mencabar lagi kerana kebanyakan yang bergelar siswa dan siswi ini sudah mula hidup berdikari, tinggal berasingan dari keluarga serta harus bijak merancang masa dan rutin seharian sendiri agar tidak terbuang sia-sia.

Justeru, tidak hairan ada di kalangan mereka yang gemar mengisi waktu luang selepas kuliah atau kelas dengan ‘lepak’ di kedai mamak bersama kawan-kawan sambil makan-makan dan bersilaturahim. Tidak kurang juga yang mungkin disebabkan faktor penarik lain seperti menonton bola di skrin besar yang lazimnya disediakan kedai atau restoran terbabit.

Selain itu, ramai juga gemar memilih kafe-kafe atau restoran makanan segera yang mempunyai perkhidmatan wifi percuma untuk mengisi masa luang berkenaan.

Sesekali, terutama hujung minggu atau cuti umum, jika tidak ada aktiviti berkaitan universiti atau kolej, ada juga mengambil kesempatan lepak santai dengan cara window shopping di pusat-pusat beli-belah, menonton wayang di layar lebar dan sebagainya yang sesetengah menganggap sebagai terapi untuk release tension.

Bagi yang aktif dalam berpersatuan atau kokurikulum pula, inilah juga antara masa sesuai untuk mereka memenuhi minat dan kecenderungan itu sama ada beriadah di kawasan kampus mahupun di luar kampus.

Anda siswa-siswi pastinya mempunyai aktiviti-aktiviti yang menjadi pilihan santai masing-masing bagi mengisi waktu luang berkenaan. KAMPUS kali ini ingin berkongsi cerita dan pendapat di kalangan beberapa orang siswa dan siswi bagaimana mereka mengisi waktu santai selepas kuliah.

MANFAATKAN WAKTU LUANG

Bagi kebanyakan siswa dan siswi ini pula, waktu luang masing-masing turut diisi dengan aktiviti persendirian sama ada di dalam mahupun luar kampus. Namun, tanggungjawab sebagai pelajar tetap menjadi keutamaan agar tidak keciciran dan terabai kerana pengisian aktiviti tersebut.

IKUTI LATIHAN ROWING

Sebagai atlet mendayung (rowing), masa luang banyak diisi dengan sesi latihan.

Kerana itu, pantang ada masa, Muhammad Zahiruddin Ridzuan, 23, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjalani latihan rowing bersama atlet-atlet sukan yang lain.

Setiap hari, sesi kuliah akan tamat pada jam 4 petang. Selesai solat dan siapkan diri, Zahiruddin akan ke lokasi sukan untuk menjalani latihan mendayung.

Selama dua jam, bermula dari 5 hingga 7 petang, Zahiruddin akan memperuntukkan masa untuk latihan dan beriadah. Setakat ini, jadual sukannya berjalan lancar.

Sekiranya kuliah dibatalkan oleh pensyarah atas sebab-sebab tertentu atau kuliah habis awal, beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua 1, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA sesi 2016/2017, akan menyelesaikan tugasan dan hal-hal akademik yang lain. Dia juga akan menemui pensyarah untuk mengadakan perbincangan bagi subjek-subjek tertentu. Selesai semuanya, barulah Zahiruddin pergi bersukan.  

Bergelar atlet, ahli MPP dan tanggungjawab sebagai penuntut, membuatkan Zahiruddin cukup sibuk. Kadang-kadang dia tiada masa untuk menguruskan diri sendiri.

"Penat tu memanglah penat, tetapi saya benar-benar seronok. Saya tak sukalah tiada aktiviti untuk dilakukan. Sangat rugi kalau kita sebagai penuntut, tak buat apa-apa. Masa di universitilah untuk kita kumpul ilmu dan tingkatkan nilai tambah yang sedia ada.

"Ini tidak, banyak yang saya tengok, ada rakan-rakan, yang bila habis kelas, balik bilik dan terus tidur. Bila bangun, cari makanan dan sambung tidur lagi. Cubalah usahakan sesuatu yang boleh beri impak positif dalam diri," jelasnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) tekad meneruskan kempen memperkasakan pembacaan dan penggunaan tulisan jawi kepada masyarakat melalui pertandingan yang melibatkan murid sekolah rendah.
  • SERAMAI 50 pelajar Maahad Tahfiz Sains Darul Aman Kulim, Kedah berkesempatan berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.
  • UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim) melakar sejarah tersendiri apabila Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara ke-11.
  • SUNGAI PETANI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya (PJ), Tikam Batu melakar sejarah apabila muncul johan dalam pertandingan Energy Efficiency Challenge (EEC) 2017 peringkat kebangsaan.
  • KULIM - Selepas sedekad beroperasi, Kolej Komuniti Kulim kini membuktikan pusat pengajian itu mampu menghasilkan pelajar yang menjadi rebutan pihak industri.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.