BIDANG kejuruteraan merupakan salah satu aplikasi sains bagi membantu kehidupan manusia. Mendalami ilmu kejuruteraan memerlukan penguasaan beberapa aspek sains bagi memenuhi skop bidang kejuruteraan yang luas. Memandangkan begitu banyaknya keperluan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan pada masa kini, banyak institusi di dalam mahupun di luar negara menawarkan kursus-kursus kejuruteraan bagi memenuhi keperluan industri ini.

Namun begitu, di zaman yang penuh mencabar ini, pengisian dari segi ilmiah sahaja belum memadai bagi mempersiapkan pelajar sebelum melepaskan mereka menerokai dunia pekerjaan. Selain daripada menguasai ilmu kejuruteraan itu sendiri, pelajar juga perlu memiliki sikap positif, memiliki jati diri di samping memahami tanggungjawab sosial serta apa yang boleh disumbangkan kepada masyarakat melalui kepakaran mereka miliki.

Menyedari hakikat inilah, sekumpulan penuntut yang terdiri daripada ahli UNISEL Mechanical Engineering Club (UMEC), dari Universiti Industri Selangor (Unisel) mengambil inisiatif berbakti kepada masyarakat melalui cabang bidang kejuruteraan mekanikal.

Hasil daripada usaha tersebut, di bawah bimbingan Pensyarah Divisi Kejuruteraan Mekanikal Unisel, Nazlin Hanie Abdullah, sebuah reka cipta ergonomik yang dinamakan Ergonomics Toilet Chair For Elderly and Disable Users atau ‘Kerusi Tandas Ergonomik Bagi Warga Emas dan Golongan Kurang Upaya’ telah berjaya dihasilkan.

Reka cipta ergonomik adalah reka cipta yang mengambil kira faktor-faktor kemanusiaan di dalam proses mereka bentuknya. Melalui produk-produk universal sedia ada, reka bentuk ergonomik menerapkan elemen-elemen faktor kemanusiaan di mana produk dicipta bagi menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal serta keperluan pengguna.

Sebagai contoh, produk dihasilkan kumpulan pelajar ini, telah dirujuk terlebih dahulu kepada Malaysian Anthropometric Data bagi mendapatkan ukuran badan populasi rakyat Malaysia.

Berpandukan data ini, barulah dimensi asas kerusi seperti ukuran ketinggian, lebar, saiz penyandar dan ukuran-ukuran lain ditetapkan.

Analisa ergonomik turut dibuat bagi menjangka kondisi postur tubuh dan otot sepanjang menggunakan kerusi ini. Ini penting bagi mengelakkan pengguna mengalami musculoskeletal disorders atau ketidakselesaan otot dan tulang.

Ergonomics Toilet Chair for Elderly and Disabled Users ialah kerusi yang digunakan semasa berurusan di tandas. Sasaran pengguna utama ciptaan kerusi ini adalah bagi warga emas, pesakit dan golongan kurang upaya yang mengalami kesukaran menggunakan tandas.

Kerusi ini juga memiliki ketinggian boleh laras dan juga dilengkapi dengan shower atau paip pancuran air bagi memudahkan pengguna untuk membersihkan diri dan mandi. Kemudahan kerusi ini yang boleh dilipat serta mudah alih juga menjadi alternatif kepada tandas cangkung, di mana kerusi ini boleh diletakkan di atas tandas cangkung bagi memudahkan pengguna yang tidak memiliki tandas duduk.  

Kemudahan ciptaan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pesakit  berpendapatan rendah mahupun yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memiliki tandas duduk di kediaman mereka.

Pengiktirafan

Bagi melihat sejauh mana prestasi ciptaan ini, kumpulan penuntut Unisel memberanikan diri menyertai Ergonomic Design Competition (ErgoCUP 2016) berlangsung 26-27 September 2016 yang lalu. Pertandingan yang diadakan di SEGI Universiti, Kota Damansara ini dianjurkan Human Factors and Ergonomics Society Malaysia, diadakan julung kali, menyaksikan  penyertaan 13 buah institusi pengajian tinggi dan swasta.

Cubaan ini membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan apabila reka cipta berjaya mendapat pingat gangsa  kategori institusi.

Menurut Nazlin Hanie, selaku pensyarah dan peneraju utama projek berkenaan, tujuan utama projek adalah untuk memupuk semangat kerja berpasukan, membina minda di samping meningkatkan keyakinan diri kalangan mahasiswa.

Katanya, projek dimulakan dengan sesi brainstorming dan perbincangan intensif dengan siswa yang terlibat bagi menentukan dan mengkaji permasalahan yang dihadapi warga emas serta golongan kurang upaya apabila berurusan di tandas. Hasil daripada itu, kajian lanjut dijalankan berkaitan kerusi sedia ada, kajian ergonomik dan aspek yang berkaitan.

Seterusnya, kerja-kerja lakaran dan mengaplikasikan penggunaan perisian CATIA dalam proses Computer Aided Design (CAD) dan analisis Ergonomik. Berdasarkan lakaran tersebut, proses pembuatan prototaip diteruskan dengan mengaplikasikan apa yang dipelajari di bengkel kejuruteraan mekanikal di Unisel.

Semoga dengan aktiviti sebegini, diharapkan penuntut dapat melihat bidang mereka bukan sekadar aplikasi sains dan teknologi semata, tetapi juga bagaimana aplikasi kejuruteraan itu mampu menyumbang kepada masyarakat. Secara sedar atau tidak, usaha mereka ini telah membantu golongan memerlukan.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.