MAULIDUR Rasul bertandang untuk ke sekian kalinya tanggal 12 Rabiulawal lalu. Walaupun membicarakan kelahiran satu insan sama, berkat keistimewaan yang dianugerahkan kepada baginda Muhammad SAW menjadikan peristiwa tersebut mengandungi ribuan hikmah yang tidak habis-habis dicerna. 

Sempena Maulid Nabi kali ini dan dalam masa yang sama menginsafi realiti dunia hari ini, adalah sangat sesuai dan menarik untuk kita merungkaikan dan meneladani peristiwa kelahiran baginda dengan kaca mata islah rakyat Malaysia dalam mengharungi arus pasca-modenisasi.

 

Teladan Untuk Semua

Kita hidup dalam zaman globalisasi. Sempadan budaya dan bangsa semakin pudar, sebaliknya yang semakin jelas ialah nilai-nilai universal; keadilan dan kebebasan, yang menjadi elemen penyatuan masyarakat dunia. Sejajar itu, personaliti baginda Muhammad SAW menjadi suri teladan sempurna untuk semua tanpa mengira Muslim ataupun bukan. Kepimpinan karismatik, ketinggian akhlak, kerendahan hati dan kesetiaan pengorbanan demi umat, merupakan sikap yang wajar dicontohi semua dalam menambah baik diri untuk masa akan datang. 

Jejak hidup sebagai seorang pedagang berjaya, ayah yang penyayang, suami yang sabar, sahabat yang setia dan pemimpin yang peka umat. Namun begitu, kita terpaksa akui bahawa dalam kekangan sebagai insan serba kekurangan, hampir mustahil untuk menyalin bulat-bulat perilaku baginda SAW. Tetapi itu tidak menghalang kita untuk membaiki diri berdikit-dikit dengan harapan suatu masa nanti tingkah-laku kita akan persis seperti perilaku baginda.

 

Islah Abad Ke-21

Dengan menyantuni konteks dunia maju hari ini, pendekatan islah harus diolah sesuai zaman. Mengekalkan prinsip dan matlamat islah yang sama, cuma caranya sedikit berbeza. Islah atau menambah baik kualiti diri di abad ini harus berorientasikan tindakan zahir yang boleh diukur. 

Islah tahun ini bukan sekadar membaiki sikap buruk seperti malas, berfoya-foya, melengahkan masa dan sikap-sikap tidak produktif yang lain tanpa pendefinisian yang jelas.

Islah kali ini harus meletakkan matlamat yang jelas dan ia mesti dicapai. Sebagai contoh meletakkan matlamat setahun akan datang ialah untuk menerbitkan 40 artikel di surat khabar atau menyertai 30 aktiviti kesukarelawanan dalam negara. Atau berusaha meningkatkan pendapatan bulanan dan bersedekah kepada golongan tidak berkemampuan.

Pokoknya, pembaikan kali ini mesti disertai khidmat kepada bangsa dan  negara secara langsung. Ini adalah kerana kita sedar bahawa dunia hari ini pantas berubah. Demi memastikan kita tidak terperangkap dalam delusi azam untuk berubah tetapi sebenarnya tiada tindakan yang signifikan saban tahun, islah diri hari ini mesti jelas dan dicapai sebaiknya agar di maulid akan datang kita dapat menetapkan agenda islah yang baharu agar kita boleh pergi lebih jauh.

 

Melihat Konteks Lebih Besar

Jika seluruh rakyat Malaysia mengamalkan islah seperti yang di atas, maka dalam konteks negara bangsa Malaysia, kita akan melahirkan budaya masyarakat Malaysia yang sentiasa inginkan yang terbaik untuk diri dan masyarakat. Menjelang Wawasan 2020 dan Tranformasi Nasional 2050, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tinggi produktivitinya, rakyatnya tidak individualistik dan merangkul pencapaian tertinggi dalam semua bidang; politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Sebagai umat Islam agenda islah ini sepuluh kali ganda lebih penting. Kita harus insaf dengan dunia Islam yang terbenam dalam konflik dan penindasan, ketinggalan dalam sains dan keilmuan, ekonomi diancam dari belah ufuk timur dan barat. Tidak ada cara lain untuk keluar daripada permasalahan dan kebimbangan ini melainkan dengan meningkatkan mutu kerja, menghasilkan pencapaian bermanfaat dan berterusan meningkatkan prestasi.

Salam Maulidul Rasul, Salam Islahi untuk semua rakyat Malaysia.

 

Irfan Faruqi M. Fairus, Naib Yang Dipertua lll, Majlis Perwakilan Pelajar USIM