UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai dinobatkan sebagai penerima Anugerah Komitmen Universiti Terbaik bagi tahun ketiga berturut-turut berdasarkan pencapaian cemerlang dipamerkan.

Pengiktirafan tersebut bersempena Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 4.0 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Usim, Syazlyna Jamil berkata, dua kumpulan yang bertanding iaitu Orla Farm dan Well Disposer, masing-masing merangkul Anugerah Emas Harapan (Emas Terbaik) dan Anugerah Emas.

Melalui kemenangan itu, katanya, Orla Farm membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 manakala Well Disposer RM1,000 termasuk piala iringan, piala individu dan sijil penghargaan.

“Kedua-dua kumpulan menggunakan pendekatan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dalam usaha mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Orla Farm menukarkan sisa makanan kepada baja kompos dikenali dengan nama Orla Farm Organic Fertilizer.

“Well Disposer pula memanfaatkan sisa minyak masak terpakai untuk dijadikan lilin wangi digelar J-Candle,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) menyampaikan anugerah kepada wakil kumpulan Orla Farm.

Menurut Syazlyna, projek Orla Farm turut mencuri tumpuan apabila mengungguli Anugerah Projek Alam Sekitar Harapan yang menawarkan hadiah wang tunai RM500.

“Pengurus projek Orla Farm, Nur Azizah Md Basri juga dicalonkan sebagai finalis bagi Ikon Duta Jauhar kategori siswi.

“Pada masa sama, pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama iaitu Profesor Madya Dr Mohammad Najib Jaffar yang bertindak selaku penasihat meraih Anugerah Penyelia Harapan,” katanya.