POLITEKNIK Seberang Perai (PSP) menubuhkan PSP Autotech sebagai pusat latihan kepada pelajar untuk menceburi bidang kemahiran automotif dan keusahawanan.

Pengarah PSP, Mejar (K) Zulkifli Ariffin berkata, pelajar yang terpilih akan menjalani latihan kemahiran dan menjadikan bengkel PSP Autotech sebagai platform untuk menjana pendapatan.

Menurutnya, pensyarah pula akan menyumbangkan kepakaran dengan memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pelatih, selain mereka akan mendedahkan dengan cabaran menghadapi realiti perniagaan.

“PSP komited dalam mengeluarkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, malah graduan juga disaran untuk memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa depan yang mampu meningkatkan tahap ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi.

“Bila menceburi bidang keusahawanan ini, pelajar perlu berdaya saing dari segi pemikiran dan tingkah laku dalam memajukan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, program keusahawanan dinamakan Tekno-Inkubator PSP Autotech mempunyai dua pelatih yang juga bekas pelajar PSP.

Menurutnya, dua pelatih berkenaan iaitu Mohamad Khairul Haziq Abdul Majid telah menubuhkan syarikat Hot Rod Top Tune Autoworks, manakala Mohammad Azie Adiridzzuan Azhar pula menubuhkan syarikat Aidirudzzuan Motorworks yang telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Dengan bakat dan kemahiran yang mereka miliki, kita beri kepercayaan kepada kedua-dua bekas pelajar PSP ini untuk mengusahakan bengkel kereta dan motosikal dalam kawasan politeknik ini selama tiga tahun.

“Mereka dijangka memperluaskan lagi perniagaan  di luar pada masa akan datang dan akan menjadi usahawan yang berjaya kelak,”katanya.

Tambahnya, PSP Autotech yang diwujudkan ini adalah setaraf dengan pusat servis di luar, bagaimanapun menawarkan harga perkhidmatan yang lebih murah dan juga berpatutan.

Katanya lagi, antara kemudahan yang disediakan di sini seperti ruang menunggu berhawa dingin yang selesa untuk pelanggan, makanan dan minuman ringan, selain menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai.

Majlis perasmian Tekno-Ikubator PSP Autotech telah dilancarkan oleh Pegawai Khas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.