KUALA KANGSAR - Seramai 21 anggota Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) Kolej Komuniti Chenderoh menjalani latihan pertolongan cemas bagi mempersiapkan diri menghadapi situasi kecemasan, 17 Januari lalu.

Latihan dijalankan di pekarangan kolej itu dikendalikan jurulatih, Rahimi Yang Rasidi dari Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Kangsar.

Pegawai Pispa Kolej Komuniti Chenderoh, Mohd Halifi Ab Hamid berkata, penuntut semester satu diwajibkan menyertai Pispa sebagai penglibatan dalam ko-kurikulum kolej.

“Melalui penglibatan dalam Pispa, mereka berpeluang mempelajari ilmu asas pertahanan awam agar mampu bersiap sedia menghadapi bencana alam atau musibah seperti banjir, pertolongan cemas dan sebagainya,” katanya.

Latihan kawad turut diberikan.

Pispa Kolej Komuniti Chenderoh mula ditubuhkan pada 2015 dan pernah terlibat dalam misi sukarelawan banjir di Pasir Salak serta di Kuala Sepetang.

Pengarah Kolej Komuniti Chenderoh, Hastarija Hassan berkata, anggota pasukan itu perlu berbangga apabila berpeluang terlibat dalam pasukan keselamatan.

“Tidak semua dapat pengalaman seperti ini. Jadi, mereka harus mempraktikkan apa yang dipelajari agar ilmu yang diperoleh dapat digunakan sebaiknya kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kesediaan APM memberi kerjasama baik dalam pelaksanaan program Pispa di kolej ini secara tidak langsung menyuntik semangat anggota pasukan itu.

“Dengan latihan kerap, mungkin suatu hari nanti kita dapat membantu APM sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Anggota Pispa, Nor Husnina Latif berkata, kemahiran asas yang dipelajari menjadikannya lebih tahu teknik menyelamatkan diri.

Hastarija memberi katakata semangat sempena latihan pertolongan cemas PISPA.

“Sebagai pelajar kulinari yang sedia terdedah dengan api dan gas dapur sudah pasti kebarangkalian akan berlaku bencana tidak dapat dielakkan.

"Dengan ilmu pertolongan cemas yang dipelajari akan dapat membantu diri sendiri dan orang lain sewaktu menghadapi kecemasan dan kemalangan,” katanya.

Dia mengakui, teruja apabila diajar cara-cara mengikat orang cedera di kepala dan tangan serta cara selamatkan mangsa keluar dari hutan.

“Ambil peluang apa yang disediakan Kolej Komuniti sebagai ilmu tambahan kerana ianya berguna pada bila-bila masa,” katanya.

INFO:

- Pispa Kolej Komuniti Chenderoh mula ditubuhkan pada 2015

- Pernah terlibat dalam misi sukarelawan banjir di Pasir Salak serta di Kuala Sepetang