KOLEJ Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), semakin mendapat tempat di kalangan belia terutama lepasan sekolah. Model pendidikan kompeten menjadikannya antara institusi berprestij yang menjadi pilihan di negara ini.

Bagi penuntut Diploma Sains Perubatan Picoms yang kini di tahun tiga, Mohd Nazrul Azham Rosdi, 21, berkata, dia gembira menuntut di Picoms kerana ia mempunyai pensyarah berpengalaman dan menyediakan fasiliti lengkap dengan persekitaran pembelajaran menyeronokkan.

Menurutnya, selain rakan-rakan sekuliah saling membantu, pensyarah juga sentiasa memberikan tunjuk ajar sehingga penuntut benar-benar faham ilmu disampaikan.

“Paling saya gemarkan persekitarannya yang kondusif. Kemudahan komputer disediakan mencukupi dan capaian internet mudah. Contoh, jika ada tugasan, senang untuk saya gunakan komputer.

“Kemudahan seperti perpustakaan, makmal sesuai, juga tersedia. Kami sebagai penuntut di sini hendak buat latihan praktikal pun senang,” kata anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini.

Berasal dari Dungun Terengganu, menurutnya jika diikutkan jarak tempat tinggalnya agak jauh dengan Picoms, namun baginya ia bukan halangan untuk mencari ilmu terutama di institusi yang sudah dikenali ramai.

Nazrul berkata, selain itu, Fakulti Sains Perubatan Picoms juga banyak mengadakan aktiviti luar kampus antaranya melalui kelab kembara, sekali gus para penuntutnya diterapkan dengan kemahiran insaniah melalui aktiviti bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan kemasyarakatan.

“Saya berhasrat menyambung pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang penyelidikan. Saya pun akan tamat diploma tidak lama lagi dan merancang bekerja di bidang kesihatan terlebih dahulu.

“Lagipun khusus Sains Perubatan ditawarkan Picoms ini meluas seperti di bidang kesihatan dan insurans. Jadi saya tiada kegusaran untuk mendapatkan pekerjaan pada masa depan,” katanya yang mendapat maklumat Picoms menerusi internet dan membuat pendaftaran melaluinya.

Sementara itu, Muhammad Akmal Shah Saim, 24, berkata, dia melihat kelebihan di Picoms yang memberikan panduan berkaitan bidang dipilih kepada penuntutnya dari permulaan mendaftar hingga tamat belajar.   

Menurut bekas penuntut Diploma Kesihatan Persekitaran (EH) Picoms yang tamat belajar pada 2015 ini, dia mengakui pada permulaan mengambil bidang EH, dia samar-samar bidang pekerjaan bakal diceburi.

“Mulanya saya masuk sebab tiada pilihan. Picoms cadangkan EH kerana bidangnya meluas. Bila di semester dua, baru sedar kelebihan bidang ini sebab kita ada praktikal langsung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Masuk unit kawalan vektor, unit keracunan makanan, mutu makanan, pengambilan sampel, unit kebersihan premis dan bermacam lagi. Latihan praktikal diuruskan kolej dan kita dibenarkan memilih lokasi, jadi memudahkan urusan kita. Waktu itu baru saya sedar kelebihan khusus ini,” katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kebajikan penuntut

Akmal berkata, penuntut Picoms juga beruntung kerana tidak dibiarkan terkapai-kapai semasa latihan praktikal.

Memberikan contoh dirinya yang semasa belajar di Picoms menjalani latihan praktikal di pejabat kesihatan di daerah Mersing selama setahun, kumpulannya disediakan tempat penginapan lengkap dengan peralatan rumah dan kenderaan untuk memudahkan pergi dan pulang latihan setiap hari.

“Saya sendiri dapat elaun dari Baitulmal. Tinggal kami hanya perlu sediakan wang sendiri untuk makan. Praktikal selama setahun itu saya rasa sangat okey hingga tamat latihan.

“Bagi saya, Picoms membantu dari segi jurusan ditawarkan. Bidang ini pun meluas kerana ia amat diperlukan,” kata Akmal berasal dari Kulai, Johor ini.

Seorang lagi bekas penuntut baharu tamat belajar dalam jurusan Diploma Sains Perubatan Picoms, Muhammad Zulhisham Rasli, 22, berkata, dia dipindahkan dari kolej swasta di Kepala Batas Pulau Pinang ke Picoms melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika di semester empat.

Menurutnya, dia memilih Picoms kerana mendapat maklumat Picoms mempunyai jurusan Sains Perubatan, menyediakan kemudahan dan menjaga kebajikan penuntut.

“Picoms mempunyai pensyarah yang ambil berat berkenaan pelajarnya dan sistem pembelajarannya sistematik serta menekankan kami dalam ilmu keagamaan dan akidah.

“Tambahan saya salah seorang atlet Sukan Sea 2017, Picoms juga membantu sedikit sebanyak dengan pensyarah tidak kekok memberi pelepasan untuk saya ke kem latihan dan perlawanan ketika mewakili Malaysia dalam Asian 7’s Series 2015/2016. Para pensyarah banyak menyokong saya dari segi motivasi dan pembelajaran,” katanya.

Zulhisham yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan kini bekerja separuh masa sebagai jurulatih kecergasan, bermain dalam sukan ragbi sejak berusia 13 tahun lagi.

Pencapaian tertingginya setakat ini ialah mewakili Malaysia dan mendapat pingat emas sukan berkenaan di Sukan Sea 2017, turut membanggakan Picoms.