BACHOK – Artis tersohor tanah air, Datuk M Nasir meluangkan masa dua hari untuk berkongsi pengalamannya dalam industri penciptaan lagu bersama penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

M Nasir berkata, ia bukanlah kali pertama beliau hadir untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar universiti, namun ini adalah kali pertama ia dilakukan secara lebih mendalam dalam masa dua hari.

Antara aspek yang dikongsikan ialah bagaimana lagu dicipta, menunjukkan secara spontan bagaimana ilham datang dan lagu tercipta dan sebagainya.

“Hasil kerjasama dengan Finas, bawa kita ke sini untuk kongsi pelbagai pengalaman, bagaimana mencipta lagu, bengkel hak cipta dan pembikinan video mtv.

“Saya harap penuntut terlibat faham dunia sekarang kita perlu tahu kreativiti yang baru, yang kita temui itu perlu lindungi melalui hak cipta. Dunia kita sekarang berubah menjadi dunia kreatif dan penting untuk menjaga hak mereka yang mencipta tak kira seni atau bidang lain kerana ia sebahagian daripada hasil negara,” katanya pada sidang media selepas mengadakan bengkel di UMK kampus Bachok.

M Nasir berkata, kreativiti bermula dari rumah dan ia digilap termasuk di universiti untuk menambahkan kemahiran teknikal.

Katanya, orang yang kreatif tidak diketahui dari mana mereka memperoleh idea, namun ia boleh dipupuk melalui pembinaan persekitaran dan idea untuk kreatif perlu disebarkan, kerana jika tidak, ia akan hanya menjadi pengikut, bukan pencipta.

“Orang tidak begitu tertarik dengan teknikal untuk menjadi seorang pencipta lagu tetapi lebih di sebalik tabir untuk merasai pengalaman sensasi pencipta lagu. Ia sangat memaksa rasa dan pemikiran yang agak teknikal bagaimana nak cipta lagu yang baik, ia tidak boleh terjawab dalam sejam dua, ia seperti bidang lain juga,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, menerusi Program Bengkel Hak Cipta, Bikin Lagu dan Muzik Video ini para penuntut akan mendapat faedah daripada industri sebenar dalam konteks kepentingan hak cipta dalam bidang industri kreatif, khususnya bagi produk yang bersifat abstrak dan bernilai estetik.

Katanya, penggunaan gajet dan telefon pintar membantu generasi masa kini untuk berkarya dengan lebih mudah dan pantas.

Namun katanya, isu hak cipta hendaklah diberikan perhatian khusus kerana penjanaan pendapatan dan keempunyaan karya akan hilang jika kefahaman berkaitan isu hak cipta dipandang remeh.

“Dalam konteks pembelajaran, program sebegini dapat memenuhi keperluan kurikulum yang mensyaratkan input industri sebanyak 10 peratus dalam pembelajaran di UMK. Pembelajaran secara langsung oleh penuntut dengan penggiat industri memberikan kelebihan kepada mereka untuk berdaya saing dan sentiasa meneroka mencari ilmu baru yang sentiasa berkembang pantas.

“Sebagai sebuah fakulti yang ditubuhkan atas gabungan bidang teknologi kreatif dan warisan, program ini sangat tepat dan bersesuaian dengan slogan FTKW iaitu Pemerkasaan Warisan Menerusi Teknologi Kreatif,” katanya.