KOTA BHARU - Seawal jam 8.30 pagi, petugas-petugas di Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu sedia menggalas tanggung jawab memudahkan proses membuang undi memilih tokoh kepimpinan sesi pengajian mereka.

Segala kelengkapan tersedia dengan penuh aturan, dibantu kampus dan menariknya suasana itu sama seperti pengundian PRU kerana adanya pertolongan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kelantan.

Timbalan Pengarah IPG Kota Bharu, Dr Abdullah Yusoff berkata, setelah melalui proses pembubaran jawatankuasa yang lama, kini bermulalah pemilihan untuk sesi 2018/2019.

“Sebelum ini proses penamaan calon dan peranan calon perlulah menyerlah menerusi kempen secara berhemah, malah ketika itu juga perayu undi dalam kalangan jentera parti turut memainkan peranan penting.

“Perayu ini biasanya bertindak dalam memastikan kejayaan calon berwibawa melalui kaedah kempen menggunakan poster serta ceramah.

“Semasa berkempen juga, calon dan jenteranya berusaha mengetengahkan manifesto untuk meyakinkan pengundi supaya memilih mereka sebagai pemimpin,” katanya.

Proses membuang undi turut mendapat bantuan dari SPR Kelantan bagi melancarkan lagi proses pengundian.

Abdullah berkata, mini pilihan raya itu sesuai pada musim ini kerana tahun ini bertepatan dengan PRU dan penuntutnya pula layak mengundi.

“Pengundian kali ini seolah-olah kami sudah maju satu langkah ke hadapan sebelum penuntut kami hadapi pengundian sebenar dalam negara nanti.

“Konsep dan kaedah ini menjadikan mereka lebih faham mengenai politik negara dalam memilih pemimpin berwibawa,” katanya.

Menariknya, pilihan raya itu dipantau oleh Timbalan Pengarah SPR Kelantan, Mohd Norhafiz Ahmad Pauzan dan diiringi Pengerusi Pelaksana, Muhammad Azrul Roslan.

“Seramai 240 penuntut keluar mengundi dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengahari yang mana, mereka mengundi 27 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan jawatankuasanya, cuma tahun ini tidak ramai pengundi sebab IPG ini akan ditukar kepada Kolej Vokasional pertengahan bulan nanti,” katanya.

Fahami konsep demokrasi dan pilih pemimpin wibawa

Menurut Abdullah, usaha pengundian itu mampu mendedahkan penuntut dengan pemimpin masa depan, memahami konsep demokrasi, yang mana, ia menjadi satu pendedahan awal apabila mereka keluar IPG dan mengajar di sekolah mereka nanti faham apa sebenarnya pilihan raya.

Kata beliau, dalam kaedah pemilihan, penuntut boleh mempelajari cara yang telus, adil dan tiada penipuan untuk memilih pemimpin masa kini serta untuk kesejahteraan masa depan.

“Pemimpin di kampus biasanya banyak membantu penuntut lain, malah mereka masuk bertanding dengan hasrat membawa misi untuk kesejahteraan, tampil membawa suara penuntut lain, contohnya masalah di asrama dan kehidupan aktiviti luar,” katanya.