SERAMAI 217 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditauliahkan sebagai pegawai inspektor dalam majlis penuh istiadat di UiTM Seri Iskandar, baru-baru ini.

Mereka merupakan pelatih yang mengikuti kursus berbentuk kepolisan menerusi badan beruniform Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UiTM.

Penyampaian watikah itu disempurnakan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Inspektor Kor Suksis UiTM kali ketiga, baru-baru ini.

Penuntut yang terlibat berjaya menamatkan latihan berbentuk kepolisan selama tiga tahun dengan modul yang disediakan berbentuk akademik dan latihan luar.

Pelatih Kor Suksis UiTM yang ditauliahkan itu melibatkan 80 lelaki dan 132 wanita.

Dalam majlis pentauliahan itu, 21 penuntut UiTM dari tujuh cawangan dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan, pelatih terbaik akademik dan pelatih terbaik latihan luar.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Suksis UiTM cawangan Perak, Muhammad Izzuddin Rahman, 21, berkata, kejayaan itu mengubat kekecewaannya yang tidak dapat menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dua tahun lalu.

Menurutnya, dia menerima tawaran UPNM dan diminta untuk menjalani ujian fizikal selama tujuh hari, namun gagal di peringkat ketiga selepas pengsan akibat kekurangan air dalam badan.

“Disebabkan itu, saya tidak diterima melanjutkan pengajian di sana. Bagaimanapun saya nekad akan terus menyertai unit beruniform di mana-mana universiti nanti.

“Alhamdulillah akhirnya saya diterima masuk ke UiTM Seri Iskandar dan tidak melepaskan peluang menyertai Kor Suksis UiTM,” katanya.

Anak sulung dari empat beradik ini mengakui sepanjang tiga tahun menjadi ahli Kor Suksis banyak pengalaman dan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan terutama ketika menyertai kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor.

Katanya, mereka didedahkan dengan ilmu perhutanan malah lebih istimewa pasukan di kawasan itu turut dikenali sebagai Senoi Praaq.

“Semua kejayaan ini adalah berkat doa ibu dan ayah,” katanya.