KOTA TINGGI - Para pelajar baru Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini diberi insentif berupa kupon makanan percuma bagi meringankan beban perbelanjaan mereka ketika mengikuti pengajian mulai sesi kemasukan November/Januari 2018.

Pemberian kupon makan yang julung kali diperkenalkan itu juga bertujuan menjadikan KYPJ sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan yang bukan sahaja menitikberatkan kualiti pembelajaran tetapi juga peka terhadap permasalahan pelajar.

Ketua Eksekutif KYPJ, Shahrim Adon berkata, pemberian kupon secara berperingkat sepanjang satu semester pengajian yang melibatkan tempoh enam bulan itu membolehkan pelajar mendapatkan makanan di mana-mana gerai makan di dalam kampus institusi itu termasuk di kedai koperasi KYPJ.

Beliau berkata, kupon ini merupakan satu lagi inisiatif yang diambil pihak KYPJ  bagi mengurangkan bebanan kewangan yang perlu ditanggung khususnya pelajar baharu bagi memulakan sesi pengajian di kolej itu.

“Sebelum ini, pihak kolej menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan melalui peti ais dan rak makanan yang disediakan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar KYPJ hasil sumbangan warga kerja institusi tersebut.

“Selain mementingkan soal kualiti pengajian dan kecemerlangan pelajar, KYPJ tidak pernah lupa akan permasalahan yang mereka hadapi ketika mengharungi dunia pengajian khususnya melibatkan soal makan dan minum kerana bukan semua pelajar kami terdiri daripada golongan yang berkemampuan,” katanya selepas menyerahkan kupon kepada kumpulan pelajar baharu, di sini, baru-baru ini.

Shahrim berkata, selain pemberian kupon, pelajar kurang berkemampuan di KYPJ turut dibantu Tabung Amanah Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) yang ditubuhkan khusus bagi meringankan beban perbelanjaan dan kos sara hidup mereka sepanjang menuntut di kolej-kolej KPYPJ.

“Tabung yang turut mendapat sumbangan peribadi Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin sebanyak RM30,000 dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) RM100,000 itu juga berperanan menyediakan wang perbelanjaan kepada pelajar yang layak.

“Selain itu, tabung tersebut turut membantu urusan pembayaran yuran pendaftaran, asrama dan sebagainya bagi penuntut yang memerlukan serta bantuan musibah, perubatan dan kematian sekiranya berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan tabung itu berdasarkan kajian dalaman menunjukkan sebanyak 35 peratus pelajar di kolej-kolej KPYPJ berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :