KUANTAN - Lawatan sambil belajar ke pusat penyembelihan di daerah ini mampu mewujudkan pembelajaran segar kepada penuntut di Politeknik Metro Kuantan di sini.

Pengarah Program lawatan ke pusat penyembelihan di Jaya Gading Farm, Mohamad Afis Azmi Norden berkata, lawatan tersebut mampu memberi pendedahan kepada penuntut untuk melihat suasana sebenar proses penyembelihan di sesebuah industri.

Menurutnya, penuntut juga didedahkan dengan teknik dan teknologi terkini yang digunakan dalam proses penyembelihan ayam secara halal di kawasan itu.

“Saya percaya ini peluang untuk penuntut mendapat pengetahuan mengenai teknik dan teknologi digunakan bagi menyembelih haiwan.

“Jadi ilmu yang diperoleh ini dapat dipraktikkan dalam pembelajaran di dewan kuliah nanti, selain memberi pengalaman kepada mereka selepas tamatnya pengajian,” katanya.

Seramai 60 penuntut semesta tiga dalam jurusan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal turut serta dalam program yang berlangsung selama sehari itu.

Mohamad Afis berkata, maklumat balas yang diterima boleh penuntut secara keseluruhannya amat baik, malah ada antara mereka menyuarakan rasa seronok dengan lawatan itu.

Beliau bagaimanapun berhasrat menganjurkan lagi program ini pada masa akan datang kerana banyak manfaat diperoleh sepanjang lawatan terbabit.

“Lawatan ini akan diadakan setiap semesta kerana memberi peluang kepada mereka untuk melihat aktiviti sebenar tempat pengeluaran dan dapat mengaitkan dengan sesi pembelajaran mereka,” katanya.

Sementara itu, pemilik pusat penyembelihan halal itu, Yap Kim Gee menghargai kehadiran penuntut politeknik tersebut.

“Saya harap semua pihak dapat mengenai tentang pemprosesan ayam halal yang diiktiraf Jakim di kilang beliau,’ katanya.