SERAMAI 40 ahli Persatuan Pandu Puteri Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Semambu menjayakan program tanggungjawab sosial di Rumah Penjagaan Orang Tua Sri Permai Taman Tas.

Pengarahnya, Norlida Abd Razak berkata, pihaknya turut membawa tiga pakar urut Refleksologi untuk memberi perkhidmatan mengurut tapak kaki kepada warga emas yang mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, program di rumah penjagaan orang tua Sri Permai adalah yang pertama diadakan membabitkan Persatuan Pandu Puteri Polisas, manakala tahun lalu turut diadakan aktiviti membaiki dan menambah kemudahan di sekolah Rohingya di Indera Mahkota.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Polisas, Shahrul Nizam Mohamed menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penghuni.

“Program selama sehari itu membabitkan pelbagai aktiviti seperti membersihkan persekitaran, membaiki tandas, mencuci pakaian dan mengemas tempat tidur selain turut menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 19  penghuni.

“Lebih banyak program tanggungjawab sosial akan diadakan selepas ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar Polisas terhadap peranan mereka kepada golongan memerlukan,” katanya.

Norlida berkata, beliau amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada ahli Persatuan Pandu Puteri Polisas pada program itu.

“Kesedaran terhadap tanggungjawab anak menjaga ibu dan bapa yang lanjut usia diharap dapat disemai pada program hari ini, pelajar dapat merasai sendiri betapa sedih 19  penghuni rumah penjagaan orang tua Sri Permai yang ditinggal keluarga.

Peserta program mengemas katil penghuni rumah orang tua pada program itu.

“Semua pelajar Polisas diwajibkan terbabit dengan aktiviti persatuan dan sukan bagi memastikan mereka tidak berada dalam dunia belajar tanpa menghiraukan keadaan sekeliling,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar kursus teknologi makanan Norizan Abdul Wahee, 20, berkata, pengalaman menyertai program tanggungjawab sosial di rumah penjagaan orang tua Sri Permai menjadi kenangan tidak mungkin dilupakan.

“Ini kali pertama saya datang ke sini dan hati amat tersentuh melihat warga emas yang tiada keluarga.

“Bagaimanapun, saya dan  rakan-rakan gembira dapat melakukan aktiviti mencuci persekitaran dan mengemas tempat tidur warga emas yang mengalami masalah kesihatan.

“Beberapa  penghuni yang ditemui mendakwa mereka mempunyai anak namun disebabkan beberapa perkara,  mereka akhirnya ditinggalkan keluarga,” katanya.