CABARAN daripada pensyarah penasihat persatuan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM untuk mengetuai program pengantarabangsaan ke Indonesia pada Oktober lalu tidak disia-siakan Nur Syahirah Yahyanuddin. 

Pun begitu, akui Nur Syahirah, 24, ia bukan sesuatu yang mudah, sementelahan lagi melibatkan aktiviti program di antara dua negara serta pelajar yang ramai.

Namun, berbekalkan pengalaman yang ditimba susulan penglibatan dalam pelbagai aktiviti sejak dari zaman persekolahan, Nur Syahirah menyahut cabaran berkenaan dan pada masa sama untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan kepimpinan lagi.

“Saya amat berterima kasih di atas segala sokongan terutama daripada pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan kerana kepercayaan yang diberikan kepada saya dalam menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai ketua dalam program ini,” katanya. 

Program pengantarabangsaan ini melibatkan seramai 37 orang yang merupakan pelajar daripada jurusan Ijazah Keusahawanan dan Inovasi, UKM. Ia dilakukan bagi mencapai perjanjian MoU di antara dua buah universiti di Indonesia iaitu Universiti Negeri Jakarta dan Institut Teknologi Bandung bersama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. 

Selain itu juga program ini melibatkan penyelidikan dan tinjauan industri IKS sewaktu di Bandung, Indonesia. 

“Dengan adanya penglibatan aktiviti seperti ini saya dapat mempelajari dan memperbaiki segala kelemahan diri bagi menjadi seorang ketua yang lebih baik. Saya juga harus sentiasa berfikir di luar kotak kerana terdapat pelbagai masalah yang kemungkinan besar akan timbul dan saya sebagai seorang ketua harus bersedia untuk menghadapinya. 

“Selain itu juga, saya berpeluang untuk menambah kenalan ke peringkat yang lebih luas seterusnya meningkatkan semangat saya apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang mereka peroleh. Segulung penghargaan saya ucapkan kepada pihak Felcra di atas kerjasama dalam penglibatan program pengantarabangsaan yang telah dianjurkan. Felcra juga merupakan salah satu badan kerajaan yang amat menggalakkan pelajar bergiat aktif di dalam pelbagai bidang terutama dari segi aspek keusahawanan,” jelas mantan pelajar Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, Politeknik Nilai ini. 

Selain itu katanya, lawatan ke Pasar Baru, Bandung untuk melihat secara praktikal kaedah penjualan masyarakat Indonesia di sana, turut memberi peluang kepada kalangan mahasiswa UKM membina jaringan peluang perniagaan bagi mempelajari proses import produk dari luar negara. 

Menurut siswi Ijazah Sarjana Muda jurusan Keusahawanan dan Inovasi ini, dia mula bergiat aktif sejak daripada zaman sekolah di SMK Pasir Gudang 2 di mana Nur Syahirah merupakan pembahas ala parlimen dan pemidato sekolah ke peringkat daerah dan negeri Johor.

“Bermula daripada situlah saya belajar untuk sentiasa berani tampil ke hadapan dan mencuba menjadi seorang ketua yang mempunyai sifat kepimpinan tinggi. 

“Di UKM, pada awalnya saya bermula dengan penglibatan aktif di kolej kediaman sebelum beralih aktif ke Permaj (Persatuan Mahasiswa Anak Johor). Antara yang saya terlibat secara aktif adalah dalam program Duta Jauhar 1.0 dan kemudiannya aktif di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Persada (Persatuan Permuafakatan Siswa/i Anak Felda),” jelas siswi berasal dari Pasir Gudang, Johor ini.

Menurut anak sulung daripada enam beradik ini lagi, ibu bapa merupakan pendorong utama dalam setiap aktiviti yang disertai selain rakan-rakan dan pensyarah penasihat. 

“Walaupun jarang pulang ke Johor sebab banyak masa di fakulti atau ikut program, ibu bapa amat memahami dan dalam masa sama sentiasa memberi sokongan moral kepada saya,” akhirinya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJALANI latihan industri dan diberikan tugas am serta khusus sepanjang latihan praktikal di setiap industri kerajaan mahupun swasta adalah perkara biasa sebagai mahasiswa. Ia bagi memastikan penuntut tersebut diberikan peluang merasai alam pekerjaan di samping membantu untuk meningkatkan soft skills mahasiswa terbabit.
  • BIDANG penerbangan bukan sahaja mempunyai publisiti meluas dalam kalangan masyarakat, malah turut dianggap bidang glamor dan berprestij yang menjadi impian, terutama ketika zaman kanak-kanak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.