HAMPIR 300 kertas kerja dibentangkan pada Persidangan Kejuruteraan dan Teknikal Universiti Teknikal Malaysia (Mucet) 2017 yang berlangsung di Park Royal Hotel, di sini, pada 6 dan 7 Disember lalu.

Program julung kali diadakan itu turut melibatkan penyertaan daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Huessein Onn (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem).

Sempena penganjuran Mucet kali ke-7, UniMAP diberi peluang menjadi tuan rumah dengan tema ‘Menerajui Inovasi Dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi’.

Zul Azhar (dua, kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abu Bakar.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, objektif utama persidangan itu adalah sebagai platform terbaik bagi staf akademik dan perindustrian berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan pada masa yang sama membantu menyerlahkan idea serta penemuan baru dalam penyelidikan.

“Sebanyak enam bidang sains teknikal dan sosial dikenal pasti menerusi kertas kerja yang dibentangkan iaitu 59 kertas kerja dari pengurusan pendidikan, sains sosial dan teknologi, diikuti 47 kertas kerja dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

“Bidang teknologi maklumat dan komunikasi, sains dan matematik (42 kertas kerja), kejuruteraan kimia dan sumber asli (34 kertas kerja), kejuruteraan mekanikal dan pembuatan (32 kertas kerja) dan kejuruteraan awam (25 kertas kerja),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan aluan sempena majlis perasmian Persidangan Mucet 2017 di Park Royal Hotel.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurutnya, daripada jumlah itu UniMAP mencatat pembentangan kertas kerja tertinggi iaitu 124 diikuti UTHM (41), UMP (31) dan UTem (28) selain tiga kertas kerja dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan satu dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Penyertaan yang menggalakkan itu berjaya membuktikan bahawa universiti-universiti itu berjaya memainkan peranan yang berkesan dalam konteks pembangunan ekonomi negara.

"Ia juga membantu mengukuhkan hubungan universiti dengan industri di samping menghasilkan penyelidikan dan penyelidikan jurnal yang kompetitif serta menyerlahkan keterlihatan di peringkat persada antarabangsa,” katanya.

Berdasarkan keseluruhan data penerbitan Scopus dari semua Universiti Teknikal Malaysia (MTU)sejak 2013, sebanyak 16,716 artikel Scopus berjaya diterbitkan UniMAP dengan 5,349 artikel, UTHM (4,680 artikel), UMP (3,411 artikel) dan UTem (3,276 artikel) dalam 11 bidang penyelidikan utama.

Mucet merupakan persidangan tahunan MTU yang dianjurkan sejak 2007 bagi mempertingkatkan dan memperkasa kualiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :