DUA negara serumpun yang dipelopori oleh Indonesia dan Malaysia sudah sampai masanya bergabung tenaga membina kekuatan baru untuk mematahkan dominasi Barat dalam percaturan dunia.

Hal ini disuarakan oleh Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dalam ucaptama semasa menerima Anugerah Doktor Falsafah Kehormat (PhD) dalam bidang Ilmu Hukum (Undang-undang) dan Kemasyarakatan daripada Universitas Andalas Padang (UNAND), Sumatera Barat.

Anugerah ini diberikan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-65 Fakulti Hukum dan ulang tahun ke-60 UNAND, atas jasa dan sumbangan beliau dalam merapatkan lagi hubungan di antara Malaysia dan Indonesia dalam konteks pembangunan hubungan masyarakat serumpun dengan membuat pelbagai aktiviti seperti persidangan, perbincangan dan jalinan kerjasama akademik.

“Sudah sampai masanya Indonesia, Malaysia, Singapura, Selatan Thailand dan bangsa Melayu lainnya lebih berperanan dalam percaturan dunia,” tegas Dr Rais.

Kebimbangan Rais terhadap hegemoni Barat ini ada kewajarannya. Kata Rais, sebelum merdeka, kita dijajah melalui kuasa senapang dan bedil meriam. Tetapi kini kita dilenakan dengan penjajahan bentuk baharu melalui bahasa, budaya dan hiburan. Termasuk konsep hak asasi manusia yang menjurus pada telunjuk Barat.

Lebih parah lagi, pengaruh Barat itu juga berperanan besar dalam mewujudkan ketidakstabilan hubungan dua negara serumpun, Indonesia dan Malaysia. Terbukti, kerapnya kedua-dua negara ini bercakaran dalam beberapa isu kecil.

Sebab itu, beliau melihat kekuatan baru ini menjadi jawapan sebagai kekuatan yang boleh menyeimbangkan ataupun pemutus dominasi Barat. Keberadaan 250 juta lebih penduduk Indonesia ditambah 100 juta penduduk negara Melayu lainnya, seyogianya boleh mewujudkan impian tersebut.

Penyatuan bahasa dan budaya

Lalu daripada mana memulainya? Menurut Rais Yatim, langkah awalnya mewujudkan usaha agar bahasa Melayu (Indonesia) menjadi bahasa rasmi di Asean, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, perdagangan, perhubungan dan lainnya.

Selama ini, tambah beliau, istilah-istilah dalam dunia teknologi, automotif, ekonomi dan lainnya selalu menggunakan istilah Barat. Padahal, kawasan ini punya bahasa yang sepadan.

“Jika bahasa tersebut kita gunakan terus, bila masanya teknologi dan pakar-pakar daripada dunia sebelah Timur ini akan dipakai,” jelasnya.  

Untuk mewujudkan impian ini, menurut Dr Rais, para ilmuwan dan pakar bahasa, serta kebudayaan perlu melakukan kajian.

“Selain bahasa, kesamaan kebudayaan dan makanan juga boleh menjadi alat untuk menyatukan masyarakat Melayu,” ujarnya.

Menurutnya, kesamaan banyak budaya, muzik atau pantun boleh dikembangkan lebih luas melalui pelbagai kesamaan budaya daerah. Kemudian, makanan seperti tempe, nasi lemak, rendang juga boleh menjadi simbol kebersamaan masyarakat di dunia Melayu untuk maju ke dunia antarabangsa.

“Kita mempunyai kekuatan, namun perlu dimunculkan dengan usaha bersama yang gigih,” tegasnya.

Selain itu, tambah Dr Rais, institusi pengajian tinggi di rantau Asean perlu membuat persekutuan dalam Dunia Melayu Islam dan menjadikan budaya Minangkabau sebagai salah satu penunjang budaya Melayu.

Apabila nantinya kekuatan baru ini mampu diwujudkan, Rais yakin hal ini akan berupaya mengubah pandangan Barat terhadap Timur.

“Institusi pengajian tinggi di Barat sampai masanya akan berkiblat ke Timur,” ujarnya.

Mengukuhkan dua negara serumpun

Pihak Universiti Andalas menyatakan bahawa penganugerahan ini adalah sebagai salah satu simbol penyatuan masyarakat serumpun. Tim promoter yang terdiri daripada Prof Dr Yuliandri, Prof Dr Firman Hasan dan Prof Dr Yaswirman menerangkan, gelar doktor kehormatan bidang hukum dan kemasyarakatan ini, dicadangkan pada Rais Yatim atas dua alasan utama.

Pertama, sebagai seorang yang menyedari betapa pentingnya membangun hubungan antarabangsa, maka dalam konteks masyarakat serumpun Indonesia-Malaysia, Dr Rais senantiasa memberikan perhatian dan sokongan melalui berbagai aktiviti.

Semangat hubungan serumpun, juga terungkap dalam pemikiran-pemikiran yang ditulis melalui karyanya, termasuk berbentuk pantun.

“Ada ungkapan yang disampaikan Dr Rais, ‘Sesungguhnya bahasa, budaya dan agama lah yang lebih berkesan menyatukan kita. Bukan politik atau teori-teori kemanusiaan lainnya,” ujar Yuliandri.

Kedua, latar pendidikan Dr Rais di bidang perundangan dan pengaruhnya dalam membangun kerjaya politik, serta menjalankan tugas-tugas dalam kerajaan serta konteks hubungan Indonesia-Malaysia, telah memberikan makna dalam mendukung cita-cita masyarakat serumpun.

“Melalui pelbagai karya, termasuk karya terbarunya bertajuk Adat: the Legacy of Minangkabau, dapat dijadikan asas memahami pelbagai gagasan Dr Rais dalam menyusun dan mengembangkan adat Minangkabau. Dalam konteks Indonesia, dapat difahami bahawa memartabatkan perundangan adat merupakan bagian dari pilar pengembangan sistem perundangan nasional,” jelasnya.

Pada September lalu, Timbalan Presiden Republik Indonesia Muhammad Jussuf Kalla turut menerima Anugerah Doktor Falsafah Kehormat (PhD) dalam bidang Ilmu Hukum (Undang-undang dan Pentadbiran) di universiti yang sama. Dr Rais adalah penerima anugerah kedua pada tahun ini.

Rektor Unand, Prof Dr Tafdil Husni menyambut baik pemberian gelar doktor kehormatan kepada salah satu tokoh berpengaruh dalam hubungan Indonesia-Malaysia ini.

“Unand adalah salah satu satu institusi pengajian tinggi terbaik di Indonesia, berada pada ranking ke-11 dari 4.000 institusi pengajian tinggi di Indonesia dengan akreditasi A. Kami berusaha melahirkan ilmuwan-ilmuwan terampil yang mampu membangun bangsa,” katanya.

Tafdil Husni dalam pidatonya mengatakan, ide penguatan kebudayaan oleh Dr Rais untuk menyatukan hubungan negara di rantau Melayu sesuatu yang mendesak untuk dilakukan.

“Apabila terus dibiarkan, hubungan antara Indonesia dengan Malaysia contohnya boleh berakhir dengan permusuhan. Kita berharap pimpinan negara di sekitar Melayu boleh mengimplementasikan gagasan Tan Sri Rais Yatim tersebut, untuk menjadi kekuatan baru mendepani pengaruh Barat,” harapnya.

AHMAD YANI ABD MANAF

(Yang mengiringi lawatan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia ke Padang)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-baru ini, Kelab Umno Medan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Medan (GPMS Medan) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) telah menganjurkan program dinamakan Sahur On The Road.
  • SUASANA agak gamat apabila satu demi satu bahan tulisan peserta dibacakan oleh penceramah dalam kursus Penulisan Berita Berkaitan Aktiviti & Program, anjuran Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, 8 Jun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.