Catatan:

Umar Khairuddin Fekaray

Mahasiswa Tahun 1 Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan

International Universiti of Africa,

Khartoum, Republic of Sudan.

TANAH benua Afrika di perlembaran Nil ini banyak menyimpan seribu rahsia alam yang masih belum mampu dijejaki sepenuhnya oleh saudara Muslim dari belahan dunia lain. Republik Sudan merupakan sebuah negara yang mempunyai percampuran adat dan keturunan antara Afrika dan masyarakat Arab.

Perbezaan warna kulit dan keturunan bukan alasan bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan (PMMS) menghantar sekumpulan empat ahli diketuai Timbalan Presiden 1, PMMS, Hassan Karimi Zakaria ke Rufa’ah, di dalam Wilayah Jazirah bagi melaksanakan misi julung kali diadakan PMMS itu.

Program kelolaan Lajnah Penempatan & Kebajikan PMMS ini turut disertai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Penempatan, Firdaus Abu Jalil bersama dua lagi mahasiswa Malaysia, Umar Khairuddin Fekaray dan Ahmad Zulhelmi Wahab.

Objektif ekspedisi adalah bagi menyampaikan amanah daripada rakyat Malaysia kepada khalwah-khalwah (tahfiz) di sana, di samping meninjau peluang mahasiswa Malaysia di Sudan untuk memberi khidmat kebajikan di masa akan datang kepada anak-anak tahfiz di Afrika.

LAYANAN BAIK

Perjalanan kami mengambil masa selama tiga jam dari stesen bas Mina Burri di Khartoum untuk sampai ke pekan Rufa’ah. Kami disambut baik oleh Sheikh Ahmad, pengajar di Khalwah Syarif Abul Qasim, salah sebuah khalwah di Rufa’ah.

Rombongan kami diberi layanan sangat baik walaupun mereka dalam keadaan serba daif. Bagaimanapun hasrat kami untuk berjumpa pengasas khalwah, Sheikh Abul Qasim tidak kesampaian kerana beliau berurusan di luar kawasan Rufa’ah untuk beberapa hari.

Khalwah ditubuhkan pada 1993 dan pernah menerima ramai pelajar Malaysia yang menghafal sekitar 90-an hingga 2007, malah Sheikh Ahmad boleh menyebutkan satu persatu nama-nama pelajar berkenaan.

Keadaan di khalwah ini amat daif jika dibandingkan kebanyakan tahfiz di Malaysia. Para pelajar masih menggunakan kayu api untuk memasak dan hanya makan sejenis makanan yang diperbuat daripada campuran tepung dan air, diberi nama lugma setiap hari!

Mereka hanya tidur berlantaikan tanah, beralaskan tikar dan berbumbung rimbunan pohon. Bilik-bilik yang disediakan tidak mampu menampung jumlah pelajar dan hanya digunakan untuk menyimpan barang.

Semasa kunjungan kami, ramai pelajar pulang bercuti membantu keluarga menuai hasil tanaman dan membajak tanah. Cuma sekitar 35 pelajar yang tidak pulang.

Khalwah ini masih mengekalkan tradisi menulis hafalan dengan dakwat di atas papan dinamakan Lauh.

Kebiasaannya pada setiap Jumaat penduduk-penduduk sekitar akan mengumpul sedikit makanan dan disedekahkan pada mereka.

Keesokan harinya, kami keluar ke pasar di pekan Rufa’ah untuk membeli empat ekor kambing, amanah dari rakyat Malaysia untuk diaqiqahkan dan menziarahi sambil mengagihkan daging aqiqah di khalwah-khalwah berdekatan.

Setelah berjaya mendapatkan empat ekor kambing, kami bergerak ke Khalwah Sheikh Qureishi tidak jauh dari pasar Rufa’ah. Khalwah ini diasaskan pada 1983 dan mempunyai seramai 60 pelajar. Sejurus sampai, rombongan bernasib baik kerana berselisih dengan Sheikh Qureishi sebelum beliau keluar. Sheikh Qureishi berbesar hati kerana ini kali pertama orang luar dari kawasan Rufa’ah datang menghulurkan bantuan. Kami menyembelih dua ekor kambing dan mewakafkan sebanyak 24 naskhah al-Quran sumbangan rakyat Malaysia.

PROJEK KEBAJIKAN, BANTUAN

Selesai semua urusan, kami bergerak pulang ke Khalwah Abul Qasim - tempat kami bermalam kerana terdapat lagi dua ekor kambing untuk disembelih di sana.

Sesampainya di sana, kami dinasihatkan supaya tidak menyembelih kedua-dua ekor kambing sekali gus, kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk menyimpan daging yang telah siap dilapah. Terpaksalah kami menangguhkan penyembelihan keesokan harinya.

Jelas terpancar kegembiraan di wajah para pelajar apabila dapat menjamah daging dan roti. Hati kami menjadi sayu dan terharu. Kami dimaklumkan ada lima buah khalwah di kawasan Rufa’ah yang memerlukan bantuan yang sama.

Hari ketiga di Rufa'ah, seawal 7 pagi kami menyembelih seekor lagi kambing yang berbaki dan menyampaikan 24 naskhah al-Quran.

Kemudian peserta menziarahi sebuah sekolah menengah berdekatan, Madrasah Rufa’ah Lilbanin yang ditubuhkan pada 1913 dan hanya menempatkan pelajar-pelajar lelaki. Sekolah ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh politik tempatan seperti Sheikh Hasan Turabi.

Konflik berdarah sejak beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan berpecahnya Sudan Utara dan Selatan turut membawa kesan besar struktur ekonominya yang bergantung kepada hasil minyak sebagai sumber ekonomi negara.

PMMS merancang untuk meluaskan lagi projek kebajikan dan bantuan ke khalwah di sini dan program terdekat ialah sewaktu musim cuti semester pada Januari 2017.

PMMS juga membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati ingin mewakafkan al-Quran dan aqiqah di Sudan ini dengan menghubungi Bendahari PMMS, Saudara Zulqarnain Hussin di talian +60145248325.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-baru ini, Kelab Umno Medan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Medan (GPMS Medan) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) telah menganjurkan program dinamakan Sahur On The Road.
  • SUASANA agak gamat apabila satu demi satu bahan tulisan peserta dibacakan oleh penceramah dalam kursus Penulisan Berita Berkaitan Aktiviti & Program, anjuran Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, 8 Jun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.