BUAT julung kalinya, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui kerjasama Fakulti Ekologi Manusia dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang, menganjurkan program komuniti bijak wang dikenali sebagai Program Adik Bijak Cerdik Duit.

Majlis pelancaran dan perasmian disempurnakan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Dr Laily Haji Paim, yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UPM iaitu Prof Dr -Ing Ir Renuganth Varatharajoo.

Majlis turut dihadiri Pengerusi KRT, Saheh Said, Pengarah Pusat Hubungan & Jaringan Industri (CIRNET) UPM, Prof Madya Dr Azlizam Aziz, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM), Prof Madya Dr Uma Rani Sinniah, Ahli Jawatankuasa KRT Taman Sri Serdang, para ibu bapa dan peserta program.

Program ini mendapat pembiayaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menerusi geran pemindahan ilmu (Knowledge Transfer Programme).

Idea untuk menganjurkan program komuniti bijak wang ini terhasil berikutan dapatan kajian yang dilakukan pada 2014 dalam kalangan 800 pelajar tahun 4 dan tahun 5 di seluruh Malaysia.

Beberapa dapatan kajian yang menarik perhatian adalah amalan menyimpan dalam kalangan pelajar masih lagi rendah. Majoriti pelajar tidak dapat membezakan di antara 'keperluan dan kehendak' dan telah wujudnya budaya 'berhutang' dalam kalangan pelajar sekolah.

Malahan majoriti pelajar menyatakan bahawa ibu bapa tidak melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai hal-hal kewangan keluarga. Selain itu, peningkatan statistik golongan belia yang telah diisytiharkan muflis juga merupakan pencetus idea untuk menjalankan program pemindahan ilmu pendidikan dan pengurusan kewangan kepada komuniti terutama golongan anak-anak dan kanak-kanak.

Program Komuniti Bijak Wang ini merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran, pengetahuan dan kemahiran kepada anak-anak berkaitan dengan aspek pengurusan kewangan, kepenggunaan dan keusahawanan. Pengetahuan dan kemahiran ini amat penting sebagai persiapan untuk anak-anak terlibat sebagai pengguna di pasaran terutama dalam situasi ekonomi semasa. Peranan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting dalam usaha untuk menjadikan pendidikan kewangan ini sebagai satu bentuk pembelajaran sepanjang hayat dalam kehidupan anak-anak.

Objektif umum program ini adalah untuk memindahkan ilmu pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran yang ada di universiti kepada pihak komuniti khususnya dalam bidang pendidikan kewangan kepada kumpulan sasar iaitu kanak-kanak dalam kalangan Komuniti Taman Sri Serdang.

Empat objektif khusus yang telah digariskan dalam program ini adalah (1) melatih graduate intern (GI) untuk menguasai bidang pengurusan kewangan sebagai persiapan kerjaya (niche area), (2) melatih dan membekalkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kewangan dan keusahawanan kepada jurulatih (trainer) di peringkat komuniti, (3) melatih dan membekalkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kewangan dan keusahawanan kepada fasilitator di peringkat kampus (sukarelawan dalam kalangan mahasiswa) dan (4) meningkatkan pengetahuan, amalan dan kemahiran dalam kalangan peserta program mengenai ilmu pengurusan kewangan, kepenggunaan, keusahawanan dan penggunaan lestari.

Program Adik Bijak Cerdik Duit ini berlangsung selama empat bulan bermula pada November 2016 sehingga Februari 2017 dan dilaksanakan setiap Sabtu selama dua jam untuk tempoh 16 minggu.

Tempoh masa ini sesuai untuk melihat sejauh mana keberkesanan program dari segi peningkatan pengetahuan, tingkah laku dan kemahiran anak-anak dalam aspek pengurusan kewangan, kepenggunaan dan keusahawanan. Pendekatan yang diterapkan adalah Belajar Sambil Bermain dan ia amat bersesuaian fitrah anak-anak dan kanak-kanak.

Program dikendalikan jurulatih yang terdiri daripada pegawai akademik dan pegawai pelaksana yang berpengalaman dan dibantu fasilitator yang terdiri kalangan mahasiswa terlatih dan penglibatan mereka adalah secara sukarela.

Modul program telah dibangunkan sendiri oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada urus setia program. Terdapat 10 unit asas dalam modul iaitu wang dan sejarah, keperluan vs. kehendak, matlamat kewangan, simpanan & pelaburan, institusi kewangan di Malaysia, bajet dan belanja, kepenggunaan, pengurusan kredit dan hutang, keusahawanan dan penggunaan lestari.

Pelaksanaan program menggunakan pendekatan secara bersemuka, kelas mingguan, latihan dalam kelas dan luar kelas, lawatan sambil belajar, kem intensif dan khidmat nasihat serta bimbingan yang berterusan.

Penggunaan bahan bantu pembelajaran dan pengajaran berkaitan pendidikan kewangan dikenali Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit yang telah memenangi 14 anugerah baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga digunakan sepanjang tempoh pelaksanaan program. Selain itu, program pengukuhan buat ibu bapa juga akan diadakan sekali pada setiap bulan.

 Untuk melihat keberkesanan program ini, peserta akan dinilai dari segi pengetahuan, sikap, tingkah laku dan kemahiran mereka dalam aspek pengurusan kewangan peribadi, kepenggunaan, keusahawanan dan penggunaan lestari menerusi ujian pra dan pasca (pre & post evaluation), selain kuiz ringkas yang dijalankan setiap minggu serta aktiviti berterusan iaitu simpanan dan diari wang saku.

Beberapa siri perbincangan berfokus melibatkan tiga kumpulan iaitu fasilitator, peserta dan ibu bapa akan diadakan sebagai salah satu kaedah penilaian keberkesanan program.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.