KUANTAN - Inovasi kapsul di ekstrak daripada daun gelenggang untuk merawat sembelit yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah memenangi Anugerah Terbaik Kategori Pelajar dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) 2018.

Kejayaan itu hasil penyelidik Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP terdiri daripada pensyarah dan pelajar, iaitu Dr Julius Gimbun, Dr Pang Sook Fun, Chong Sin Yee dan Yeong Yi Ling.

Menurut, Sin Yee, idea  kajian berkenaan bermula 2013 bagi membantu masyarakat dari aspek kesihatan berikutan kaedah pemakanan golongan masa kini yang tidak seimbang dan boleh mendedahkan risiko sembelit serta barah urus.

“Daun gelenggang mampu merawat penyakit sembelit kerana ia mempunyai komponen aktif yang banyak seperti rhein serta kaempferol sebagai antioksidan dan pada masa sama mampu kurangkan risiko kanser.

“Pada masa depan kita harap dapat meluaskan fungsi herba gelenggang bukan sahaja dalam bentuk kapsul tetapi krim, sabun dan losen,” katanya ketika ditemui di pameran Citrex 2018 di UMP Kampus Gambang, di sini.

Hampir 300 inovasi dan penyelidikan oleh penyelidik UMP telah dipamerkan pada CITREX 2018 yang memasuki tahun keenam penganjurannya pada tahun ini.

Pada majlis penganugerahan tersebut, mereka telah berjaya membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM500 dan sijil yang disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.