PASIR PUTEH - Kolej Vokasional (KV) Pasir Puteh yang mula beroperasi tahun lepas mampu menampung 480 penuntut dalam satu masa.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademiknya, Mohd Nor Kamarudin berkata, sasaran maksimum penuntut akan dicapai dalam beberapa tahun lagi.

Katanya, ketika ini hanya dua kursus yang ditawarkan daripada lima kursus kesemuanya.

“Tahun lepas kita menerima 25 penuntut mengikuti kursus Operasi Pengeluaran Tanaman (OPT) selama dua tahun.

“Tahun ini tahun kedua mereka dengan bertumpu kepada penanaman cili dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang,” katanya.

Menurutnya, PPK Bukit Awang membelanjakan RM20,000 bagi penanaman dua musim di mana hasil dijual balik kepada PPK berkenaan.

Katanya, penuntut yang lulus dalam OPT itu akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Baru-baru ini, KV Pasir Puteh menerima kunjungan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehuddin Hassan.

Sallehuddin yang diiringi Pengurus Besar PPK Bukit Awang, Wan Anuar Wan Ismail meluangkan menanam pokok cili bersama penuntut OPT.

Mohd Nor berkata, KV Pasir Puteh kini membuat pengambilan untuk Diploma Perakaunan yang memerlukan seramai 30 penuntut.

“Kita mula mengambil penuntut untuk kursus perakaunan ini, masih ada kekosongan.

“Kita merupakan KV pertama di Kelantan yang menawarkan kursus perakaunan, saya berharap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia merebut peluang ini,” katanya.

Tiga lagi kursus peringkat diploma yang dijangka bermula sepenuhnya empat tahun lagi adalah Agro Poultry, Mekanisasi dan Rominan.

“Mekanisasi agro ini penting di mana penuntut  diajar mengendalikan jentera dan membaiki peralatannya,” katanya.