SEGAMAT - Pengalaman ketika ditauliahkan sebagai Komander Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis 29 tahun dahulu seolah-olah berulang kembali apabila kini anaknya pula ditauliahkan sebagai Komander Muda Kesatria bersama 146 anggota yang lain.

Mejar Jasmifaiezan Jalaluddin, 46, berkata, dia berasa terharu dan bangga apabila anak keduanya, Shaidatul Ashikin, 19, adalah salah seorang Komander Muda yang ditauliahkan pada Majlis Tamat Latihan Intensif Bakal Komander Siri 32/2017 di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor, semalam.

“Hari ini (semalam), saya berasakan peristiwa 29 tahun lalu seperti berulang kembali kerana bukan semua orang mampu menerima latihan fizikal yang lasak dan pada masa sama fokus kepada akademik.

“Saya sendiri yang menggalakkan dia (Shaidatul) supaya terus aktif di dalam Kesatria kerana ini adalah salah satu proses membentuk keperibadian dan jati dirinya sebagai seorang anak dan mahasiswa,” katanya.

Dia yang juga Pegawai Pusat Olah Perang Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan bersama isterinya, Suemi Suip, 42, turut menggalakkan anaknya untuk terus kekal aktif dalam badan beruniform sebagai salah satu proses membentuk keperibadian diri.

Sementara itu, Shaidatul yang merupakan penuntut semester pertama Diploma Kejuruteraan Elektrik di UiTM Cawangan Johor berkata, penganugerahan tersebut adalah satu kejayaan yang sangat berharga kepada dirinya sejak menyertai pasukan berkenaan awal semester lalu.

“Pelbagai dugaan dan cabaran yang telah saya tempuhi. Hasil daripada kejayaan ini sedikit sebanyak dapat memotivasikan diri saya dan rakan-rakan lain.

“Saya memang bercita-cita nak jadi pegawai tentera seperti ayah. Dulu saya nak masuk ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tapi tak dapat dan ini mungkin langkah pertama saya untuk jadi tentera,” katanya.