LIMA orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengharumkan nama UTeM di peringkat kebangsaan apabila memenangi salah satu kategori utama dalam tiga kategori yang dipertandingkan dalam Program Genesis: Buddies Jamboree anjuran Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (IMCC–USM) baru-baru ini.

Mereka ialah penuntut Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Mohd Shah Al-Hafiz Mohd Shahrim, Syafiah Hanani Shamsuddin dan Calvin Shane a/l David dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Nurul Fatihah Rahim, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Muhammad Syafiq Asyraff Ahmad, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Wakil-wakil tersebut dilantik sebagai ‘buddies’ oleh Pusat Antarabangsa universiti masing-masing menerusi persetujuan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa Institusi Pengajian Awam Malaysia (JKPA-IPTA).

Ia bertujuan menjadi tempat dan individu rujukan bagi para pelajar antarabangsa untuk menyesuaikan diri mereka kepada budaya dan penduduk tempatan.

Pengarah Pusat Antarabangsa UTeM, Prof. Madya Dr. Md Nizam Abd Rahman berkata, kemenangan itu amat bermakna kerana penglibatan ‘buddies’ tersebut amat penting bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk turut serta terutamanya kepada semua acara dan program melibatkan budaya tempatan.

Ia juga untuk menyediakan platform bagi ‘buddies’ yang dilantik untuk mendapatkan pendedahan dan berkongsi pengalaman.