SERAMAI 20 mahasiswa dari kolej kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12), Universiti Malaya (UM) menyertai program membersihkan kawasan sungai di universiti terbabit baru-baru ini.

Pembersihan dilakukan di sebahagian daripada Sungai Pantai iaitu anak sungai yang bermula dari kawasan berbukit di universiti itu.

Pengelola program pembersihan sungai, Affan Nasaruddin berkata, program terbabit merupakan salah satu aktiviti mingguan anjuran kumpulan sukarelawannya dikenali water warriors.

Menurutnya, inisiatif program itu juga selari dengan tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya berhubung kepentingan peranan sungai dalam aspek kehidupan seharian termasuklah sosial, ekonomi dan politik.

"Usaha pembersihan sungai ini nampak remeh, namun tujuan sebenar kita adalah untuk mengubah persepsi masyarakat kampus mengenai peranan masing-masing dalam usaha melestari alam sekitar.

"Jumlah sampah yang terkumpul mungkin tidak mampu mengubah nasib Sungai Pantai pada masa depan tapi apa yang lebih penting adalah kesedaran kita sebenarnya mampu melakukan sesuatu berimpak besar jika dilakukan bersama-sama dan konsisten," katanya.

Affan berkata, kumpulan water warriors juga sentiasa mengalu-alukan penyertaan mahasiswa UM dan orang ramai meluangkan masa memelihara dan menjadi lebih prihatin terhadap isu berkaitan air di kampus termasuk bekalan dan penjimatan air dan pengumpulan air hujan.

Water warriors bermula sebagai sebuah kumpulan kecil yang membantu penyelidik UM menjalankan projek penyelidikan berskala kecil membabitkan usaha pemeliharaan alam sekitar berkaitan tubuh air di kampus seperti sungai, tasik dan bekalan air bersih.

Sementara itu, Penasihat program yang juga Pengetua KK12, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, program separuh hari itu biar pun ringkas, diharapkan mampu mencetuskan sesuatu positif dalam kalangan mahasiswa.

"Mereka seharusnya lebih arif mengenai peranan yang boleh dimainkan individu dalam memastikan kitaran bekalan air bersih itu sentiasa terjaga, walaupun kita tinggal di negara tropika dengan jumlah taburan hujan tinggi," katanya.

Difahamkan, pada sesi pembersihan sungai kali ini, sebanyak 77 kilogram sampah termasuk lebih lima kilogram barangan yang boleh dikitar semula berjaya dikumpulkan.

Program yang menerima kerjasama pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM itu akan diteruskan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha mahasiswa menanam rasa cintakan alam sekitar.