KUALA TERENGGANU - Seramai 200 mahasiswa terdiri daripada kepimpinan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) dari semua universiti awam dan swasta di Terengganu dihimpunkan dalam program Future Leaders of Terengganu.

Yang Dipertua Permata Kebangsaan, Mohd Syarizwan Mat Jenon berkata, program berlangsung selama tiga hari dua malam itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang.

Menurutnya, program tersebut berjaya membawa mahasiswa selangkah ke hadapan dengan membincangkan peranan mereka selaku pemimpin muda dalam menghadapi cabaran masa depan dan teknologi Revolusi Industri 4.0.

“Program ini merupakan hasrat seluruh kepimpinan Permata untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa Terengganu mengenai dunia politik dan kepimpinan sebenar, selain mengasah kemahiran insaniah dalam diri mereka sebagai seorang pemimpin selari visi Transformasi Nasional 2050.

“Pendedahan ini perlu agar mereka lebih bersedia untuk menggalas tugas sebagai pemimpin. Bukan saja di Terengganu, tapi kita mahukan anak Terengganu akan terus bertebaran ke seluruh dunia dan memimpin organisasi-organisasi besar dengan berjaya,” katanya.

Future Leaders of Terengganu berkonsepkan interaktif dan intelektual dengan membuka peluang kepada mahasiswa Terengganu untuk melontarkan idea dan permasalahan bagi mengukuhkan lagi Permata.

Ini merupakan antara platform talent management bagi mencungkil bakat kepimpinan mahasiswa yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) selaku fasilitator dan menyampaikan modul berkaitan kepimpinan serta pengurusan organisasi.

Antara tetamu dan penceramah yang hadir untuk berkongsi ilmu kepada mereka ialah Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Adun Air Putih serta Ahmad Ikram Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif TSIS.

Permata yang bernaung di bawah Yayasan Terengganu ialah antara persatuan mahasiswa yang aktif dan sentiasa mengutamakan kebajikan mahasiswa termasuk penyediaan platform untuk mereka menyampaikan segala informasi penting daripada kerajaan negeri.