BUKIT MERTAJAM - Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), universiti peneraju dalam agenda pembangunan Bumiputera sentiasa mengambil langkah dinamik dan proaktif melahirkan mahasiswa yang holistik dan cakna masyarakat melalui penganjuran pelbagai program ko-kurikulum yang membina jati diri mahasiswa.

Selaras dengan asas kewujudan universiti itu, ia turut mengambil tanggungjawab membantu melahirkan lebih ramai anak bangsa yang berilmu, berkemahiran dan sensitif kepada keperluan golongan terpinggir seperti orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Program Kelas Asas Bahasa Isyarat – Cinta Tanpa Suara yang dianjurkan di UiTM Kampus Dengkil telah menarik minat mahasiswa daripada pelbagai program pengajian untuk mendalami ilmu asas komunikasi Bahasa Isyarat dan menjadi sukarelawan siswa yang mampu berkomunikasi dengan golongan OKU pekak dan bisu.

Pengarah Program Kelas Asas Bahasa Isyarat - Cinta Tanpa Suara (CTS), Shirley Clare Jeri berkata, program ini sebahagian daripada inisiatif UiTM untuk melahirkan mahasiswa holistik dan berjiwa kesukarelawanan, selari dengan gagasan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

“CTS adalah sebuah program yang mendedahkan mahasiswa kepada kemahiran asas berkomunikasi dengan  OKU selain meningkatkan kesedaran sosial, tahap empati dan menerapkan nilai patriotisme melalui khidmat sukarela yang diberikan kepada negara.

“Program ini juga merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di kampus UiTM Selangor,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun akhir program Asasi TESL selepas majlis penutup program Kelas Asas Bahasa Isyarat – CTS di UiTM Kampus Dengkil, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Asasi UiTM, Prof. Madya Ahmad Kamil bin Hussain; Ketua Pusat Pengajian Asasi TESL, Pn Hjh Norshiha Saidin dan Penasihat Young Humanitarian Society merangkap penganjur program, Irwan Affendi bin Md Naim.

Pada program itu, seramai 80 mahasiswa daripada lima program pengajian iaitu Asasi TESL, Asasi Sains, Asasi Undang-Undang dan Asasi Kejuruteraan menyertai program empat minggu itu yang dikendalikan oleh pengajar berpengalaman daripada Akademi Tahfiz Pekak Kajang dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Pelajar Asasi Undang-Undang, Mahfuzah Rashid berkata, sepanjang program berlangsung, beliau semakin menyedari pentingnya mendalami bahasa isyarat sebagai wadah komunikasi dengan golongan OKU terutamanya dalam bidang guaman.

Menurutnya, kemahiran ini juga dapat menjadi nilai tambah untuk kerjaya yang bakal saya ceburi kelak.

“Peserta mendapat banyak tunjuk ajar daripada siri kuliah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

"Penggunaan lagu, aktiviti lakonan dan perbincangan mengenai keperluan golongan OKU pekak dan bisu menjadikan program ini lebih menarik dan meningkatkan kesedaran peserta terhadap keperluan masyarakat di luar universiti," katanya.

Malah katanya, diharapkan lebih ramai mahasiswa dapat didedahkan dengan program sebegini dan pada masa depan, program ini dapat diadakan dalam tempoh yang lebih panjang.